Al-Murabita al-Natsheh Dakwaan: Melaungkan Kebesaran Allah

by admin
313 views

Al-Murabita Sahar al-Natsheh

Al-Murabita Sahar al-Natsheh telah berulang kali ditangkap oleh rejim Zionis atas tuduhan “ribat” di Masjid al-Aqsa dan menghasut orang ramai untuk bersamanya. Kehadiran beliau secara terus-menerus di Masjid al-Aqsa telah menimbulkan kebencian pihak Israel terhadapnya. Apatah lagi, beliau sering bersengketa dengan askar dan penduduk negara haram Israel yang fanatik apabila mereka melakukan serangan-serangan ke atas masjid tersebut. Setelah sekian lama menyimpan dendam, akhirnya rejim Zionis mendapat peluang untuk menangkap dan menghukum beliau atas tuduhan jenayah melaungkan “Allahuakbar”. Menurut rejim zionis, laungan takbir beliau itu telah menghalang ahli-ahli Knesset dari Jewish Home Party, Shomalit Maalam dari menghadiri masjid itu.

Guru al-Quran…

Berasal dari Baitulmaqdis, Sahar al-Natsheh, isteri dan suri rumah yang berusia 48 tahun itu juga adalah seorang ibu kepada enam orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Beliau telah mempelajari bacaan al-Quran dengan penuh teliti di Masjid al-Aqsa dan merupakan pelajar kedua terbaik di sana. Selepas menamatkan pengajian itu, beliau juga turut mempelajari ilmu Hadis dan Sunnah Nabi s.a.w.

Beliau pernah menetap setiap hari di Masjid al-Aqsa di mana beliau membantu warga emas untuk menghafal al-Quran. Beliau juga meraikan sekumpulan wanita yang selalu berada di perkarangan Masjid al-Aqsa dengan menghidangkan mereka minuman panas agar mereka sentiasa bersemangat untuk menetap di masjid itu dan mempertahankannya.

Ditahan berulang kali

Sahar pernah ditahan sebanyak tiga kali dan setiap kali itu juga beliau telah diperlakukan dengan kejam. Beliau telah didakwa atas tiga kesalahan berasingan. Yang pertama, hasutan melalui tulisan-tulisan di Facebook yang mendedahkan kekejaman rejim Zionis. Kesalahan kedua pula ialah menghalang ahli Knesset melakukan ritual Talmud di Masjid al-Aqsa, menyerangnya, dan seterusnya menghalaunya dari Masjid tersebut. Kesalahan ketiga beliau ialah mempunyai hubungan dengan “al-Murabitat”, sebuah organisasi yang telah diharamkan rejim Zionis.

Menurut Sahar, misi utama rejim Zionis ialah untuk mengosongkan Masjid al-Aqsa daripada orang Islam supaya mereka boleh menguasainya seperti yang berjaya dilakukan ke atas Masjid al-Ibrahimi. Beliau menambah “pelbagai tuduhan telah dijatuhkan ke atas ahli-ahli yang paling aktif di Masjid al-Aqsa. Saya sendiri telah ditangkap dan dipenjarakan selama 11 hari. Selepas itu, saya diletakkan pula di bawah tahanan rumah selama 8 bulan dan dipaksa membayar wang jaminan sebanyak 5000 shekels. Kini saya masih menunggu satu lagi hukuman. Di samping itu, saya turut dihalau dari Masjid al-Aqsa kerana saya sangat aktif mendedahkan jenayah dan kekejaman terancang yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Masjid al-Aqsa dan para Murabitin di sana.”

Kekosongan hidup tanpanya…

Nama Sahar akhirnya telah dimasukkan ke dalam senarai nama sekumpulan Murabitin dan Murabitat yang diharamkan memasuki Masjid al-Aqsa (senarai nama ini dianggap oleh penduduk Palestin sebagai “senarai emas”) oleh rejim Israel.  Beliau berkata bahawa beliau tidak jemu untuk mengunjungi Masjid al-Aqsa demi menunaikan solat di sana namun setiap kali itu jugalah beliau akan disekat dan dihalang daripada memasuki perkarangan masjid. Perkara ini membuatkan beliau berasa tertekan dan teraniaya; lebih-lebih lagi kerana tiada siapa yang tahu tentang apa yang sedang terjadi ke atas penduduk Baitulmaqdis dan betapa mereka tersiksa dengan pengusiran dan kekejaman rejim Zionis.

Sahar yakin bahawa peranan beliau di dalam keluarganya tidak akan menghalang komitmen dan tanggungjawabnya terhadap Masjid al-Aqsa. Malah, beliau percaya yang Masjid al-Aqsa itu lebih penting daripada kehidupannya serta keluarganya; beliau juga merasakan yang hidupnya tidak lagi akan bermakna jika sesuatu terjadi ke atas Masjid tersebut kerana “Masjid al-Aqsa adalah sumber barakah ke atas ruh dan keluarga[nya]”. Oleh itu, beliau menggalakkan keluarganya untuk bersembahyang di Masjid al-Aqsa dan mempertahankannya kerana beliau percaya kepada kepentingan ‘ribat’ walaupun ia tidak menggunakan sebarang keganasan atau senjata.

Kezaliman mereka akan terhapus…

Seorang hakim Israel telah menjatuhkan hukuman kepada Sahar termasuklah memaksanya bekerja dengan orang Yahudi tanpa gaji. Sahar berkata, “Ini adalah polisi yang tidak adil dan, dengan izin Allah, sebuah negara yang dibina atas kezaliman pasti akan hilang.”

Beliau juga berkata yang beliau akan sentiasa bersabar dan tidak akan berhenti berdoa supaya Allah memelihara Masjid al-Aqsa daripada cengkaman rejim Zionis dan perancangan jahat mereka.

Sahar menganggap bahawa ia menjadi tanggungjawab seluruh negara Arab dan umat Islam untuk berdiri di belakang para Murabitat, memberi bantuan dari segi doa, menyokong mereka melalui media, menghadapi rejim Zionis bersama dengan penduduk Baitulmaqdis, menghalang rancangan rejim Zionis untuk memecahbelahkan Masjid al-Aqsa, dan mendedahkan kejahatan kerajaan Israel serta kumpulan ekstrimis terhadap penduduk Palestin dan tempat-tempat suci mereka. Beliau menegaskan bahawa ia adalah satu kewajipan terhadap setiap Muslim untuk bertungkus-lumus berusaha demi pembebasan Baitulmaqdis serta Masjid al-Aqsa dan menyelamatkannya dari dirampas oleh rejim Zionis.

Related Articles