Al-Murabita Shaheen: Ribat di al-Aqsa dalam Keperitan Penyakit dan Penjajahan

by admin
640 views

Wanita ini telah berpeluang mempelajari ilmu syariah dan fiqh di perkarangan Masjid al-Aqsa yang penuh barakah. Oleh sebab itu, setiap sudut dan selok-belok kiblat pertama dalam Islam tersebut amat dikenalinya. Masjid al-Aqsa menjadi sangat dekat di hatinya. Justeru, beliau bertekad mempertahankan Masjid al-Aqsa walau apa jua dugaan mendatang. Beliau telah menjadi khadam Masjid al-Aqsa dan murabitat yang berani di perkarangan masjid tersebut. Sehingga ke hari ini, walaupun diuji dengan penyakit kanser yang serius, beliau masih teguh berjuang. Malah, menurut beliau, penjajahan Zionis merupakan kanser yang paling berbahaya dan mesti dihapuskan sepenuhnya dari kota suci itu. Beliau adalah murabita “Samiha Shaheen”.

Ruang yang sunyi tanpanya

Murabita Samiha Shaheen pernah ditangkap dan dipenjarakan sebanyak 12 kali; dua daripadanya di Penjara Ramallah. Ketika kali pertama ditahan, beliau disoal siasat selama lima jam tetapi pihak penjara gagal mendapatkan sebarang pengakuan daripada beliau. Beliau akhirnya dibebaskan dengan ikat jamin dan dilarang menjejakkan kaki ke Masjid al-Aqsa yang dicintainya itu selama 15 hari. Tangkapan kedua berlaku ketika beliau berada di dalam Masjid al-Aqsa. Ia merupakan tangkapan terberat yang beliau pernah lalui. Tentera Zionis telah menyerbu masuk ke dalam masjid dan beliau dipukul tanpa belas kasihan. Tulang rusuknya patah dan kesan dari kecederaan itu masih ditanggungnya hingga ke hari ini. Saat disoal siasat, beliau mengerang kesakitan. Namun, tentera Israel tidak mengendahkannya, bahkan menyuruh beliau “berhenti berlakon!”. Sebagai hukuman, beliau dilarang mendekati Masjid al-Aqsa selama beberapa bulan.

Menurut Shaheen, tujuan utama pihak rejim Zionis cuba menghalau para murabita dari Masjid al-Aqsa adalah untuk mengosongkannya. Dengan itu, ia memudahkan penduduk haram Israel untuk masuk dan melaksanakan ritual agama Talmud dan mencabuli kesucian Masjid al-Aqsa dengan pelbagai perlakuan tidak bermoral.

Para murabita telah beberapa kali berjaya bertahan dan menghalang penduduk haram Israel daripada melaksanakan ritual mereka dan meminum arak di Masjid al-Aqsa. Dengan hanya bersenjatakan laungan takbir, mereka menghalau penduduk Yahudi dari dataran Masjid al-Aqsa.

Shaheen mempunyai satu sudut ribat khas di Masjid al-Aqsa di mana beliau memulakan harinya dari waktu Subuh sehingga Zuhur. Selepas menunaikan solat Subuh, beliau menghamparkan tikar sejadahnya di antara pintu gerbang ar-Rahmah (Bab ar-Rahmah) dan Kubah as-Sakhrah. Lalu, beliau akan duduk sambil membaca al-Quran dan berdoa sehingga waktu Dhuha. Kemudian beliau bersiap-siaga untuk menghadapi serangan tentera Zionis. Pada kebiasannya, kumpulan penceroboh pertama akan masuk dan cuba melaksanakan ritual ibadah mereka akan tetapi wanita ini sentiasa menjadi penghalang kepada mereka. Beliau akan menghadapi mereka dengan keteguhan akidahnya dan laungan kalimah “Allahuakbar”. Perbuatan tersebut menaikkan kebencian orang Yahudi yang mencerobohi Masjid al-Aqsa dan menyebabkan Shaheen berkali-kali diusir malah dihalang dari memasuki masjid. Akibatnya, beliau kini meneruskan ribat di pintu masjid.

Sakit bukan penghalang

Pertempuran beliau dengan rejim Zionis berkembang ke tahap yang baharu apabila rumah bapa mertuanya diserbu dan Shaheen dibawa bertemu ejen Perisikan Israel pada 10 April 2016.

Ejen Perisikan Israel sedaya upaya memaksa beliau untuk menandatangani persetujuannya ke atas keputusan mereka untuk mengusir beliau dari Masjid al-Aqsa dan pintu-pintu masuknya selama enam bulan. Mereka menggunakan alasan bahawa Shaheen menjadi dalang kepada segala kekacauan yang berlaku di situ. Keengganan beliau menandatangani dokumen persetujuan tersebut mengakibatkan kad pengenalan dirinya dirampas. Kad itu kemudian dipulangkan semula kepadanya.

Peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya. Marah dan geram dengan perlakuan mereka, pelbagai persoalan bermain difikirannya pada hari tersebut. Mengapa beliau dihalang dari mendekati tempat yang amat dicintainya? Mengapa orang yang menghidupkan masjid itu dihalang masuk sedangkan pelawat dan orang asing dibenarkan pula? Usai solat Isyak, beliau merebahkan dirinya di tempat tidur dengan seribu satu persoalan. Ketika beliau bangkit dari tidur untuk mengadu segala kekusutan kepada Allah dalam tahajjudnya malam itu, beliau pengsan. Kakinya lemah dan tidak lagi mampu menampung tubuhnya lalu tercedera. Setelah menjalani berbagai pemeriksaan, penantian beliau akhirnya terjawab. Shaheen didiagnos menghidap leukimia. Kanser tersebut menyebabkan beliau terlantar selama empat bulan di hospital untuk dirawat. Rawatannya kemudian diteruskan di rumah.

Tanggungjawab kita terhadap al-Aqsa

Tidak syak lagi bahawa Shaheen menanggung derita kerana penyakit yang dihidapinya. Tetapi, bagi murabita tegar ini, dihalang dari memasuki Masjid al-Aqsa jauh lebih memeritkan. Beliau hanya dibenarkan masuk pada hari Jumaat bersama para jemaah yang lain. Walau bagaimanapun, beliau terus istiqamah menggesa para wanita untuk solat di sana dan melakukan ribat.

Sebagai penutup, beliau menegaskan kepada seluruh umat Islam untuk mendoakan kesejahteraan Masjid al-Aqsa dan menyokong para murabita dengan apa jua cara. “Kita semua bertanggungjawab terhadap Masjid al-Aqsa sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Kamu semua adalah pemimpin dan kamu akan diminta pertanggungjawaban atas setiap yang dipimpinmu”.”

Related Articles