Siapakah yang membina Masjid al-Aqsa?

by admin
573 views

Kebanyakan ulama percaya bahawa malaikat ataupun Adam AS yang membina Masjid al-Aqsa empat puluh tahun selepas Masjid al-Haram dibina.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Dharr al-Ghafari RA, beliau meriwayatkan bahawasanya beliau bertanya kepada Nabi SAW, “Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama sekali dibina di Bumi?” Baginda SAW menjawab, “Masjid al-Haram.” Abu Dharr RA bertanya lagi, “Selepas itu?” Baginda SAW menjawab, “Al-Masjid al-Aqsa.” Abu Dharr RA bertanya lagi, “Berapa lamakah tempoh masa antara pembinaan kedua-dua masjid ini?” Nabi SAW menjawab lagi, “Empat puluh tahun.” [Dipersetujui bersama]

Selepas banjir besar yang meliputi Bumi semasa zaman Nabi Nuh AS, tiada lagi kesan peninggalan bangunan Nabi Adam AS.

Ibn Hajar Al-Asqalani berkata di dalam bukunya “Fath Al-Bari” bahawasanya: ((Pengasas pertama Masjid al-Aqsa adalah Adam AS, turut disebutkan malaikat yang mengasaskannya, dan turut juga disebutkan Sam bin Nuh AS dan turut disebutkan Yakub AS… Tetapi saya telah menjumpai bukti yang menyokong dakwaan yang mengatakan: Adam AS yang telah mengasaskan kedua-dua masjid [al-Haram dan al-Aqsa], yang telah dinyatakan dalam Kitab Ibn Hisham bahawa “Selepas Adam telah membina Kaabah, Allah telah memerintahkannya untuk pergi ke Beit Al-Maqdis untuk membina sebuah masjid di sana, dan baginda telah melakukannya, dan binaan Adam AS iaitu Beit Al-Maqdis sangat terkenal”)).

Dan terdapat sebuah Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “ Apabila Sulaiman, putera Daud (AS) telah siap membina Beit Al-Maqdis, baginda meminta kepada Allah Azza wa Jalla tiga perkara: untuk memberikan baginda pemerintahan yang tunduk kepada kehendak Allah, dan sebuah kerajaan yang tidak akan diperolehi oleh sesiapapun selepasnya, dan sesiapa sahaja yang datang ke masjid ini untuk menunaikan solat, maka mereka akan diampunkan daripada dosa mereka seperti hari mereka dilahirkan.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda “Baginda (Sulaiman AS) diberikan dua daripada permintaannya, dan aku berharap dia diberikan permintaannya yang ketiga” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Nasa’i dan Ibn Majah, and dikategorikan sebagai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih At-Targhib Wat Tarhib]

Hadis ini nampak seperti bertentangan dengan apa yang disebut ulama berkenaan pembinaan Beit Al-Maqdis oleh Nabi Adam AS. Namun, Ibn Hajar Al-Asqalani mengesahkan di dalam bukunya “Fath Al-Bari” apa yang dikatakan oleh Ibn Al-Jawzi, Al-Qurtubi dan ulama lain bahawa  Nabi Sulaiman AS mengubah suai dan meluaskan Masjid al-Aqsa selepas dibina oleh Adam AS sama seperti Nabi Ibrahim meninggikan tapak Masjid al-Haram selepas ia dibina oleh Nabi Adam AS; iaitu lama selepas pembinaan kedua-dua masjid ini dan juga banjir besar semasa zaman Nabi Nuh AS yang meliputi Bumi. Oleh itu, apa yang dimaksudkan oleh hadis ini ialah Sulaiman AS mengubah suai bangunan ini dan menyediakannya untuk orang beribadah, dan tidak bermaksud baginda yang mengasaskannya, (Wallahu a’lam).

Tiada lagi hadis Nabi yang ditemui berkenaan pengasas masjid ini melainkan dua hadis yang telah dibincangkan. 

Related Articles