Masjid al-Aqsa dalam Sunnah an-Nabawiyah

by admin
2884 views

Di dalam sunnah an-Nabawiyah, hadis-hadis serta peristiwa yang berlaku banyak diceritakan mengenai keagungan kedudukan Masjid al-Aqsa, kelebihan dan kesuciannya serta keperihatinan Nabi SAW dan para sahabat Baginda SAW terhadapnya.

Antara dalilnya adalah: 

Kiblat pertama umat Islam

Nabi SAW dan umat Islam telah menunaikan solat dengan berkiblatkan Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama mereka sepanjang tempoh pemerintahan Baginda SAW di Mekah serta setahun setengah pada zaman pemerintahan di Madinah dan ini merupakan arahan daripada Allah SWT.

    Ibnu Abbas R.A telah meriwayatkan bahawasanya: “Rasulullah SAW bersolat di Mekah dengan menghadap ke arah Baitul Maqdis dan kaabah di hadapannya, begitu juga selepas Baginda SAW berhijrah ke Madinah selama enam belas bulan, kemudian beralih ke Kaabah.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).

Masjid kedua dibina di atas muka bumi

Dalam hadis Abu Zar R.A, “dia telah berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: Masjid manakah yang pertama dibina di muka bumi? Baginda SAW bersabda: Masjid al-Haram. Dia berkata: Aku bertanya lagi: Kemudian masjid yang mana? Baginda SAW bersabda: Masjid al-Aqsa. Aku bertanya lagi: Berapakah tempoh antara keduanya? Baginda SAW menjawab: Empat puluh tahun.” (Riwayat al-Bukhari.)

Hadis ini telah menerangkan kedudukan agung Masjid al-Aqsa yang merupakan masjid kedua dibina di atas muka bumi untuk menyembah Tuhan. Maka, terdapat kemuliaan di dalamnya sepertimana kemuliaan yang terdapat pada Masjid al-Haram.

Masjid ketiga yang dituntut bersusah payah mengunjunginya

 Masjid al-Aqsa adalah salah satu daripada tiga buah masjid dalam Islam yang dituntut untuk kita menempuh jerih payah perjalanan bagi menunaikan solat di dalamnya, semata-mata untuk beroleh keberkatannya dan ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW telah bersabda “Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu Masjid al-Haram, masjidku ini (Masjid an-Nabawi) dan Masjid al-Aqsa” (Muttafaqun ‘Alaih).

 

Tempat Isra’ Rasulullah SAW

Masjid al-Aqsa merupakan tempat Rasulullah SAW diperjalankan darinya dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Peristiwa ini telah dirakam di dalam al-Quran pada awal surah al-Isra’, serta disebut secara terperinci di dalam hadis seperti Rasulullah SAW menaiki buraq, berkumpul dengan sekalian para nabi di sana serta peristiwa Nabi SAW mengimamkan solat bersama mereka, lalu naik ke langit darinya untuk menerima kefarduan solat sebelum kembali semula ke al-Aqsa. Kesemua perkara ini menunjukkan akan ketinggian kedudukan Masjid al-Aqsa dan kepentingannya.

Nabi SAW bersabda, “Aku dibawa oleh Buraq – ia adalah haiwan yang putih dan lebih besar daripada keldai dan lebih kecil daripada kacukan kuda, dan setiap langkahnya sejauh mata memandang. Baginda SAW menambah: Maka aku menunggangnya sehingga menuju ke Baitul Maqdis, lalu aku mengikatnya di gelung besi di mana tempat para nabi mengikat tunggangan mereka. Baginda SAW bersabda: “Kemudian aku masuk ke masjid lalu mendirikan solat dua rakaat, kemudian aku keluar, lalu Jibril A.S mendatangiku dengan sebekas arak dan sebekas susu lalu aku memilih susu, lalu Jibril A.S berkata; kamu telah memilih fitrah, kemudian mereka naik ke langit…” (Sebahagian daripada hadis panjang riwayat Muslim).

Gandaan solat di dalam Masjid al-Aqsa

Banyak hadis telah meriwayatkan mengenai gandaan pahala solat dalam Masjid al-Aqsa. Antaranya, solat di dalam Masjid al-Aqsa menyamai 1000 kali ganda solat di tempat lain. Ada juga yang mengatakan ianya menyamai 500 kali solat dan ada juga menyebut ianya menyamai 250 kali solat. Ulama’ dalam mengkaji kepelbagaian pendapat ini menyatakan, pada mulanya, ganjarannya adalah 250 kali solat, kemudian Allah SWT meningkatkan kemuliaannya dengan menjadikannya dengan 500 kali solat, kemudian, bertambah menjadi 1000 kali solat. Begitulah kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT yang sentiasa bertambah dan tidak akan berkurang. Ini secara tidak langsung menambahkan lagi ketinggian Masjid al-Aqsa.

Antara hadis-hadis yang menyebutkannya adalah seperti berikut:

1. Daripada Abu Zar R.A: “Dia bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan solat di Masjid Nabi lebih afdhal atau solat di Masjid Baitul Maqdis? Lalu Baginda SAW bersabda: Solat di masjidku ini lebih baik daripada empat kali solat di masjid Baitul Maqdis. Ia adalah sebaik-baik tempat solat, dan ia adalah merupakan tempat dibangkitkan (mahsyar) dan dikumpulkan (mansyar), dan akan datang satu zaman dimana seorang lelaki melibas cemeti atau busur ketika dilihat olehnya akan Baitul Maqdis; maka itu adalah lebih baik baginya atau lebih disukai baginya daripada seluruh seisi dunia.” (Riwayat al-Baihaqi dan disahihkan al-Bani dalam Sahih Targhib wa Tarhib.)

Hadis ini menunjukkan bahawa pahala solat di Masjid al-Aqsa menyamai 250 kali solat kerana solat di masjid nabi adalah sama dengan 1000 kali solat di tempat lain kecuali solat di Masjid al-Haram, berdasarkan hadis Nabi SAW: Solat di masjidku ini sama seperti 1000 kali solat di masjid lain kecuali solat di Masjid al-Haram.” (Muttafaqun ‘Alaih).

2.    Daripada Abu Darda’ dan Jabir R.A, daripada Nabi SAW bersabda: “Kelebihan solat di Masjid al-Haram berbanding di tempat lain adalah 100 000 kali solat, di masjidku ini 1000 kali solat, dan di Masjid Baitul Maqdis adalah 500 kali solat.” (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Sughra no:1821 dan dihasankan olehnya).

3.    Daripada Maimunah binti Saad R.A (pembantu Nabi SAW) : “Ya Rasulullah, khabarkan kepada kami tentang Baitul Maqdis”. Rasulullah SAW menjawab, “Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan (mahsyar) dan dikumpulkan (mansyar). Kunjunginya untuk solat kerana satu kali solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” Beliau kemudian bertanya, “Jika salah seorang daripada kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda SAW menjawab, “Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. [Perbuatan ini] akan menjadikan beliau seakan-akan solat di sana.”  (Musnad Imam Ahmad).

Catatan: Ada beberapa riwayat yang menyebutkan kelebihan solat di Masjid al-Aqsa adalah menyamai lima puluh ribu kali solat. Ini adalah tidak sahih menurut pandangan ulama’ hadis.

Diampunkan dosa bagi sesiapa yang solat di dalamnya ikhlas kerana Allah SWT

Daripada Abdullah bin Amru R.A, daripada Rasulullah SAW telah bersabda: “Selepas Nabi Sulaiman bin Daud A.S selesai membina Baitul Maqdis, Baginda A.S meminta daripada Allah SWT tiga perkara: (diberi taufik) dalam memutuskan hukum yang menepati hukum-Nya, kerajaan yang besar yang tiada siapa akan memperoleh selepasnya, dan tiada seorang pun yang datang ke masjid ini untuk mahukan sesuatu kecuali mendirikan solat di dalamnya, maka akan terhapuslah dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: Adapun dua daripadanya telah diberikan, aku berharap yang ketiga juga telah diberikan.” (Riwayat Ahmad, An-Nasaie, Ibnu Majah).

Hadis ini menunjukkan kelebihan Masjid al-Aqsa dan solat di dalamnya serta harapan yang disebut di dalam hadis telah direalisasikan Nabi SAW dengan izin Allah SWT sepertimana dikabulkan doa Nabi Sulaiman A.S oleh Allah SWT.

Oleh sebab itulah, sahabat yang mulia Abdullah bin Umar R.A pernah datang dari Hijaz ke Baitul Maqdis lalu beliau masuk dan solat di dalam Masjid al-Aqsa al -Mubarak, kemudian, beliau keluar dan tidak sesekali  meminum air kerana ingin mendapat doa Nabi Sulaiman A.S seperti yang disebut dalam hadis.

Kelebihan berihram dari al-Aqsa

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Umm Salamah (isteri Rasulullah SAW) berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya ada yang memakai ihram untuk menunaikan haji atau umrah dari masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram, maka dosa-dosanya yang lalu dan dosa-dosanya yang kemudiannya akan diampunkan. (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan lain-lain) Ihram bermaksud: Para jemaah haji atau umrah yang menguatkan suara mereka untuk melafazkan talbiah serta memakai pakaian ihram.

Dajjal tidak memasuki al-Aqsa

Masjid al-Aqsa adalah salah satu daripada empat buah masjid yang Dajjal tidak akan masuk ke dalamnya seperti disebutkan dalam hadis yang sahih.

Ini jelas menunjukkan kepentingan dan kesucian empat buah masjid tersebut. 

Rasulullah SAW bersabda tentang Dajjal, “Dia akan memerintah bumi selama 40 pagi [hari], kekuasaannya akan sampai ke mana-mana tetapi dia tidak akan memasuki empat buah masjid-Kaabah, Masjid an-Nabawi, Masjid al-Aqsa dan at-Tur (Gunung Sinai).” (Musnad Imam Ahmad).

Kelebihan Menderma Untuk al-Aqsa dan Cakna Dengannya

Hadis Maimunah sebelum ini telah menunjukkan kepentingannya ketika bertanya kepada Nabi SAW: “Jika salah seorang daripada kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda SAW menjawab, “Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. (Musnad Imam Ahmad)

Bumi Mahsyar dan Mansyar

Menurut apa yang diceritakan Nabi SAW dalam hadis Abu Dzar R.A di atas tentang Masjid al-Aqsa: “Ia adalah bumi Mahsyar dan Mansyar”. (Riwayat al-Baihaqi)

Nabi SAW juga menyifatkannya sebagai “Sebaik-baik Tempat Solat

Merujuk hadis Nabi SAW dari Abu Dzar R.A: “Sesungguhnya sebaik-baik tempat solat adalah Baitul Maqdis.” (Riwayat al-Baihaqi). Ciri ini adalah pujian dan kemuliaan bagi Masjid al-Aqsa bahawa ia sebaik-baik tempat untuk orang Islam solat di dalamnya.

Related Articles