Penting: Penerangan tentang cadangan dan pelan pembahagian masa dan tempat di Masjid al-Aqsa -2013 M-

by admin
2197 views

Yayasan al-Aqsa mendedahkan “draf cadangan dan pelan pembahagian masa dan tempat serta pembinaan gereja yahudi di lima buah ruang di bahagian timur Masjid al-Aqsa.”

Laporan ditulis oleh: Mahmod Abu ‘Atha – Yayasan al-Aqsa.

“Yayasan al-Aqsa untuk Waqaf dan Warisan” telah mendedahkan dalam laporan media yang diedarkan pada tarikh 11/10/2013 M mengenai draf cadangan dan pelan peta pembahagian masa dan tempat serta pembinaan gereja yahudi di lima buah ruang di bahagian timur Masjid al-Aqsa. Yayasan al-Aqsa menegaskan bahawa Masjid al-Aqsa kini berada di tahap yang paling berbahaya dan umat Islam mesti bertindak segera untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa.

Yayasan al-Aqsa berkata, “menurut sumber-sumber media Israel di dalam bahasa Ibrani mengatakan bahawa, El Hanan Jalat, Ketua Pengarah Pejabat Hal Ehwal Agama di Kementerian Agama telah mengemukakan  pelan cadangan ini dan menyerahkannya kepada Timbalan Menteri Agama, Elie Ben Dahan”. Beliau telah menyokong dan mengiktiraf pelan tersebut serta memperincikannya lagi dengan mengatur rancangan bagi membolehkan orang Yahudi melakukan upacara ibadah mereka di dalam Masjid al-Aqsa. Rancangan ini telah disepakati di dalam sesi sebelumnya dalam Jawatankuasa Dalam Negeri di parlimen (knesset) Israel.

Merujuk kepada draf cadangan, mereka ingin menyediakan ruang di bahagian timur Masjid al-Aqsa di mana akan membentuk lima buah ruang di “Jabal Haikal”(nama yang diberikan oleh penjajah untuk Masjid al-Aqsa). Ruang ini meliputi kawasan dari pintu masuk ke ruang solat al-Marwani di tenggara al-Aqsa hingga ke bab ar-Rahmah dan berakhir di bab al-Asbath (hujung di bahagian timur laut al-Aqsa). Kesemua ruang ini akan dijadikan sebagai gereja Yahudi dan akan dibahagikan ruang-ruang tersebut untuk upacara ibadah orang Yahudi sama ada dilakukan secara persendirian atau berkumpulan. Ruang yang tertutup adalah kawasan yang meliputi bab ar-Rahmah. Selain dari pembahagian ruang, mereka juga membahagikan waktu-waktu tertentu sepanjang hari dalam seminggu serta mengikut musim perayaan dan cuti Yahudi.

Menurut sumber-sumber yang didapati, mereka menyatakan bahawa Pejabat Timbalan Menteri Agama maklum akan cadangan ini dan cadangan yang lain-lain dalam hal ini. Pelan ini akan diteliti oleh Timbalan Menteri dan kemudiannya akan dikumpulkan dan disepakati untuk draf terakhir. Ia akan dibincangkan, diperhalusi dan diubahsuai mengikut kerangka kerja yang sesuai dan akhirnya barulah dilaksanakan.

Berdasarkan pelan yang disebutkan di dalam sumber-sumber Israel, Yayasan al-Aqsa ingin menerangkan secara terperinci akan apa yang dimaksudkan mengenai pembahagian waktu, tempat dan cara orang Yahudi melakukan upacara ibadah mereka secara sendirian dan berkumpulan di ruang-ruang yang ditentukan. Berikut adalah perinciannya:

Pertama:

  • Sembahyang secara sendirian: adalah apabila ia dilaksanakan oleh seorang sahaja, dengan suara yang perlahan, hanya didengari oleh diri sendiri sahaja melalui ungkapan bibirnya dan tanpa perlu membawa kitab dan peralatan ibadah.
  • Sembahyang secara berkumpulan: adalah sembahyang bersama 10 orang atau lebih.
  • Perayaan Israel: hari-hari yang disepakati perayaan dan musim puasa: Tahun Baru Yahudi, Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa), Sukkot, Hari ke-8 “Atarat”, Hanukkah (Pesta Cahaya), Puasa ke-10 daripada bulan Tabat, Hari Purim, Hari Paskah Yahudi, Hari Kemerdekaan, Hari Quds, Perayaan Shafuot, Hari Puasa Julai, Puasa ke-9 daripada bulan Ab.
  • Seorang pegawai dilantik dan bertanggungjawab untuk melaksanakan rukun dan turutan sembahnyang yahudi di “Jabal Haikal”.

Kedua:

  • Sembahyang secara bersendirian dilaksanakan tanpa kitab suci dan peralatan ibadah. Ia dilakukan di ruangan yang ditanda warna hijau seperti yang dilampirkan dalam pelan cadangan. Pelaksanaannya adalah selama dua jam pada setiap pagi selepas dibuka pintu “Jabal Haikal” untuk orang Yahudi (sembahyang pagi-Shaharit). Kemudian, ia dilakukan satu jam penuh setiap hari selepas zohor sebelum pintu ditutup (minha). Adapun sembahyang secara bersendirian dengan membawa kitab dan peralatan ibadah, maka ia dilaksanakan di ruang berwarna coklat pada waktu-waktu yang disebutkan di atas tadi.
  • Sembahyang secara berkumpulan pula dilakukan di ruang-ruang berwarna coklat seperti yang dilampirkan pada peta. Ia dibenarkan untuk menggunakan taurat, kitab dan peralatan ibadah pada waktu dan hari yang berikut (Isnin, Khamis, Sabtu, hari pertama setiap bulan Ibri dan pada hari perayaan yahudi). Selain itu, ia dilaksanakan sejam selepas dibuka pintu (shaharit) dan setengah jam sebelum ditutup (minha). Manakala, pada hari Sabtu dan hari perayaan, ia dilakukan selama dua jam setengah untuk sembahyang pagi. Pada hari tahun baru Yahudi dan Yom Kippur (hari penebusan dosa), ia dilaksanakan selama empat jam pada waktu pagi dan khusus untuk Yom Kippur (hari penebusan dosa), ia dilaksanakan dua jam setengah untuk sembahyang “minha dan penutup” di ruangan yang dikhususkan.
  • Dibenarkan menggunakan pinggan, khemah, kerusi, meja untuk bacaan Taurat dan harta-harta suci yang dibungkus.
  • Sewaktu melakukan ibadah atau berada di sekitarnya, tidak dibenarkan sebarang aktiviti mengancam keselamatan mereka yang berada di kawasan itu.
  • Menteri Agama hendaklah melantik seorang pegawai yang akan bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara-perkara yang disebutkan tadi dengan kemungkinan untuk menambah lagi tenaga pekerja sekiranya diperlukan.

(Ini adalah perincian mengenai pelan yang dicadangkan berdasarkan sumber-sumber Israel), dan menurut rujukan, kini waktu-waktu yang dibenarkan orang Yahudi masuk ke dalam masjid adalah dari hari Ahad sehingga Khamis.

Ini adalah lampiran “Yayasan al-Aqsa” mengenai peta yang dirancangkan seperti yang dinyatakan di dalam sumber-sumber Ibrani.

Related Articles