Perincian penuh mengenai “Pencerobohan di al-Aqsa”

by admin
1675 views

Laporan ini telah diterbitkan di laman web Metras yang bertajuk: “Apakah yang anda tahu mengenai pencerobohan penjajah di al-Aqsa”.

Ditulis oleh: Juman Abu Arafa.

Aqsapedia menyediakan bahan bacaan ini kepada orang ramai untuk memberikan gambaran jelas situasi yang berlaku di al-Aqsa.
Walaupun setiap hari berita mengenai pencerobohan di al-Aqsa disiarkan di berita-berita Arab dan Palestin, akan tetapi masih ramai lagi yang tidak mengetahui maklumat asas mengenai isu ini. Di sini, kami kumpulkan maklumat-maklumat penting mengenai pencerobohan Israel di Masjid al-Aqsa al-Mubarak.

Puak penjajah yang menceroboh al-Aqsa

Istilah “pencerobohan” merujuk kepada puak Israel yang “masuk” ke dalam Masjid al-Aqsa untuk bersiar-siar di dalamnya sambil mendapat perlindungan daripada polis penjajah. Bagi menormalisasikan istilah “pencerobohan” ini supaya tidak mencerminkan penolakan hak untuk menceroboh, mereka telah menggunakan ungkapan “mendaki ke Jabal Haikal” yang merupakan ungkapan agama dan membawa maksud yang hampir sama dengan “haji”.

Boleh jadi penceroboh adalah penjajah (di sini kami gunakan ungkapan ini bagi merujuk kepada mana-mana individu Israel) atau polis atau pegawai di salah sebuah badan rasmi Israel seperti pegawai berkuasa peninggalan Israel atau pegawai di Kementerian Pelancongan atau lain-lain lagi.

Penjajah telah melakukan pencerobohan di Masjid al-Aqsa hampir setiap hari kecuali Jumaat dan Sabtu serta hari-hari perayaan agama Islam seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan Isra’ Mikraj.

Waktu pencerobohan adalah berbeza bagi musim panas dan sejuk. Pada musim panas, mereka memulakan pencerobohan pada jam tujuh setengah pagi sehingga sebelas pagi. Ini adalah tempoh masa pada waktu pagi. Manakala, selepas solat zohor, bermula dari satu setengah sehingga dua setengah petang.

Adapun semasa musim sejuk, mereka memulakannya pada waktu pagi dari jam 7 sehingga sepuluh setengah pagi. Kemudian, sambung selepas zohor, dari jam dua belas setengah sehingga satu setengah petang.

Bilangan penceroboh pada hari-hari biasa adalah berpuluh-puluh. Namun begitu, ia meningkat ke ratusan sehingga hampir mencecah ribuan atau lebih dalam sehari khususnya pada musim-musim perayaan seperti perayaan agama. Contohnya hari Paskah Yahudi (bulan April) dan Tahun Baru Yahudi (September-Oktober). Tidak terlepas juga semasa perayaan hari kebangsaan Israel, seperti sambutan “Hari Penyatuan Kembali al-Quds” atau “Hari Kemerdekaan”. Sewaktu hari penyatuan Kembali al-Quds pada tahun 2018 M, bilangan penceroboh telah mencapai lebih daripada 1600 orang penjajah.

Siapakah mereka yang menceroboh al-Aqsa?

Terdapat pelbagai kategori komuniti Israel yang menceroboh al-Aqsa. Antaranya, orang yahudi yang berfahaman agama di mana mereka mempercayai binaan “Haikal” (kuil), dan ada juga yang sebaliknya serta ada juga yang melakukannya secara berkala, harian, mingguan atau bulanan. Bukan itu sahaja, ada di antara mereka juga yang menceroboh dengan tujuan untuk menerokainya sekali atau dua kali setiap kali wujudnya peluang atau hanya menyertainya ketika musim-musim perayaan sahaja.

Kebanyakan penceroboh terdiri daripada mereka yang berfahaman agama di mana mereka melakukannya berdasarkan kepercayaan mereka terhadap tempat-tempat suci mengikut cara agama yahudi, keperluan untuk “membebaskannya” daripada bangsa Arab, mengusahakan “normalisasi” akan kewujudan yahudi di dalamnya serta permintaan-permintaan yang membawa kepada pembinaan “haikal” (kuil).

Mereka ini bergabung dalam satu kelompok yang dinamakan dengan “Jama’at Haikal” atau “Jama’at Ma’bad”(Komuniti Kuil). Nama kolektif ini merujuk kepada pelbagai latar belakang, institusi, perhimpunan, sukarelawan atau sebaliknya. Mereka ingin menuntut “hak-hak Yahudi di Jabal Haikal” dengan mengatur segala aktiviti dan seminar untuk merealisasikannya.

Antara aktivitinya adalah seruan untuk melakukan pencerobohan di al-Aqsa secara berkumpulan, khususnya pada musim-musim perayaan Yahudi dengan menganjurkannya serta menyediakan pembimbing untuk menerangkan  tentang sejarah tempat dan bahagian spiritual. Contohnya, pada hari ke-8 bulan April, orientalis Zionis, Mordechai Kedar telah menjadi pembimbing bagi menerangkan tentang sejarah tempat kepada kumpulan-kempulan penceroboh.

Secara umumnya, Jama’at Haikal mempercayai bahawa cara untuk membina “Haikal” di kawasan Masjid al-Aqsa memerlukan usaha yang lebih lagi bagi merealisasikannya. Cara pertama untuk strategi ini adalah menambahkan bilangan orang yahudi yang “masuk ke dalam Jabal Haikal”. Apabila bilangan ini bertambah, maka secara tidak langsung ia akan menjadi “legal” dan “normal”. Keadaan ini akan membenarkan mereka untuk sembahyang secara umum dan berkumpulan di dalamnya. Sekiranya perkara ini berterusan, mereka akan mempercayai bahawa  pembinaan “Haikal” adalah sesuatu yang “dibenarkan” lalu mereka perlu menghapuskan semua tempat-tempat solat umat Islam dan merampas tempat tersebut daripada rakyat Palestin.

Mengenai hal ini, Yehuda Glick, ahli parlimen (Knesset) berkata sewaktu wawancara yang dijalankan pada tahun 2009 M bagi majalah yang diedarkan kepada para pemuda penjajah; “tanpa “Haikal”, kewujudan kita kekal maya. Sekiranya orang ramai memahami akan hal tersebut dan ingin berinteraksi melalui pembelajaran serts ingin sampai ke “Jabal Haikal”, maka permintaan untuk membina “Haikal” tidak hanya akan disertai oleh dua atau tiga orang sahaja, akan tetapi sejumlah orang yang ramai diperlukan sehingga negara Israel tidak dapat lagi menolak permintaan tersebut.

Selain daripada golongan fahaman agama, sebahagian orang Israel yang berfahaman sekular telah menganggap idea “mendaki ke Jabal Haikal” adalah tindakan yang biasa. Tempat ini termasuk dalam sempadan negara “Israel”, jadi ia adalah sesuatu yang “normal” bagi orang Israel untuk mengunjunginya. Mereka ini didorong dengan tuntutan “kedaulatan” yang mana mereka melihat bahawa arahan orang Israel dilarang dari memasuki Masjid al-Aqsa adalah tidak boleh diterima. Mereka menuntut untuk mengenakan undang-undang Israel ke atas masjid sebagai pertukaran untuk menghapuskan kedaulatan Jordan yang ada pada masa sekarang.

Pada tahun 2012 M, ahli-ahi parlimen Israel (Knesset) dan beberapa pemerintah yang lain juga telah menceroboh Masjid al-Aqsa. Antaranya ialah dari parti “Rumah Yahudi” iaitu  Uri Ariel, bekas Menteri Pertanian dan Shuli Mualem serta ahli-ahli parlimen dari parti “Likud”, seperti Yehuda Glick dan Amir Ohana.

Pencerobohan daripada para pemerintah ini merupakan usaha berterusan yang dilakukan oleh Jama’at Haikal (Komuniti Kuil) untuk mempromosikan ucapan-ucapan pemerintah dalam pentas politik dan keamanan. Oleh yang demikian, langkah ini akan mempercepatkan proses merealisasikan “Jabal Haikal” serta mendapatkan perlindungan daripada kerajaan yang semakin berkembang dari hari ke hari.

Laluan pencerobohan

Terdapat sepuluh buah pintu yang dibuka di dalam Masjid al-Aqsa. Penduduk Palestin menggunakan kesemua pintu tersebut untuk masuk ke dalam masjid kecuali pintu al-Magharibah. Hal ini kerana, selepas penjajahan di bahagian timur al-Quds pada tahun 1967 M, penjajah Israel telah merampas kunci-kunci pintu al-Magharibah. Kedudukannya bercantum dengan tembok Buraq dan terletak di bahagian sisi barat daya masjid. Kawasan kejiranan al-Magharibah yang mana terletak bersebelahan dengannya telah pun dimusnahkan oleh penjajah.

Semenjak itu, penduduk Palestin dilarang menggunakan pintu tersebut untuk masuk ke dalam masjid. Walau bagaimanapun, pintu tersebut dibenarkan untuk pelancong-pelancong asing dan para penjajah untuk menceroboh.

Laluan bagi penjajah untuk menceroboh masjid adalah bermula dari pintu al-Magharibah di sebelah barat, kemudian melewati bahagian musolla al-Qibli dan seterusnya menuju ke tembok timur masjid. Sewaktu di tembok timur, para penceroboh akan berhenti di bahagian selatan pintu ar-Rahmah dan lebih tepatnya di kawasan berhadapan dengan batu yang dimuliakan (Sakhrah al-Musyrifah). Kawasan batu ini merupakan tempat Nabi Muhammad SAW naik ke langit sewaktu Mikraj dan di atas batu ini dibina musolla kubah as-Sakhrah.

Di kawasan ini, salah seorang pembimbing yahudi akan menceritakan tentang tempat ini dan kepentingannya menurut agama yahudi. Kadang-kadang, mereka menunaikan sembahyang secara senyap atau bergumam atau berbaring di atas lantai sepertimana yang berlaku pada hari Isnin yang lalu. Adapun sebab mereka memilih tempat tersebut untuk menunaikan sembahyang atau membuat penerangan adalah kerana mereka mempercayai bahawa ia merupakan pintu utama sebelah timur untuk “haikal” dan laluan masuk bagi imam besar(paderi).

Selepas berhenti untuk menunaikan sembahyang di situ, para penjajah meneruskan laluan di sepanjang tembok utara masjid. Kemudian, mereka membelok ke arah selatan sehingga sampai ke pintu al-Qathanin. Di situ, mereka dapat melihat musolla kubah as-Sakhrah dengan lebih jelas. Sebahagian mereka mengambil gambar dari situ dan ada juga yang berdiri sambil bertafakur dan berdoa. Kemudian, penceroboh akan tinggalkan dataran masjid melalui pintu as-Silsilah. Kebanyakan mereka akan berjalan sambil melihat ke arah kubah as-Sakhrah dan di belakang mereka adalah pintu.

Dalam kebanyakan keadaan terutamanya semasa perayaan yahudi atau perayaan kebangsaan, sebaik sahaja mereka meninggalkan bab al-Silsilah, mereka mula menari, menyanyi dan meraikan “Jabal Haikal” serta melaungkan doa Yahudi.

Para penceroboh dilarang untuk pergi ke dataran kubah as-Sakhrah atau dikenali dengan “permukaan batu”(suthuh as-Sakhrah) serta dilarang sama sekali untuk masuk ke ruang solat tertutup iaitu ke dalam Jami’ al-Qibli, musolla kubah as-Sakhrah dan musolla al-Marwani.

Apakah yang dilakukan penceroboh?

Para penceroboh masih lagi rasa puas dengan hanya berjalan-jalan di dalam al-Aqsa mengikut laluan di atas. Namun begitu, mereka telah mempergiatkan kegiatan jenayah terutamanya selepas penangkapan pemuda al-Quds (yang dinamakan dengan Organisasi Pemuda al-Aqsa) serta selepas penghancuran projek-projek “Ribath” dan pengharaman gerakan Islam iaitu salah satu kegiatan yang paling terkenal dalam isu al-Aqsa pada tahun 2015 M dan tahun seterusnya. Rentetan daripada itu, mereka bukan sekadar lagi berjalan-jalan namun lebih daripada itu. Bermula dari 2016 M sehingga kini, para penceroboh makin meningkatkan kegiatan mereka menceroboh ke dalam al-Aqsa. Tambahan pula, mereka telah menjalinkan hubungan dengan jeneral polis penjajah al-Quds yang mana akan melindungi mereka sewaktu pencerobohan.

Sudah menjadi kebiasaan bagi penjajah untuk menunaikan sembahyang tanpa suara sambil menutup mata dan menggelengkan kepala atau sehingga berbaring di atas lantai selama beberapa jam atau lebih daripada itu. Mereka juga membawa bendera Israel ke kawasan halaman al-Aqsa dan menyanyikan lagu agama mereka serta menggunakan pembesar suara sewaktu memberikan penerangan tentang tempat tersebut.

Begitu juga dengan pasangan baru berkahwin, mereka juga turut menceroboh al-Aqsa dengan tujuan untuk mendapat “keberkatan” dalam perkahwinan mereka serta menyempurnakan majlis perkahwinan di dalamnya dan sebahagiannya mengakhiri dengan ciuman pasangan pengantin. Mereka juga turut menjemput para pemuda dan pemudi yang sudah mencapai umur baligh. Sambutan ini adalah sambutan khas bagi agama yahudi untuk mendapat keberkatan di dalam al-Aqsa.

Para penceroboh juga akan ditemani oleh polis Israel dan juga pengawal Masjid al-Aqsa. Pengawal tersebut akan berjalan sangat hampir dengan penceroboh dan mengawasi mereka secara dekat untuk mengelakkan sebarang provokasi. Namun begitu, keadaan ini berubah dan sekatan terhadap pengawal dikenakan sejak tahun 2017 M di mana polis penjajah telah memaksa para pengawal untuk berdiri lebih jauh dan juga menangkap sebahagian daripada mereka serta mengeluarkan arahan untuk mengusir mereka dari masjid.

Ribath dalam menghadapi pencerobohan

Penduduk Palestin telah berhadapan dengan kegiatan pencerobohan melalui “ribath”. Ia adalah situasi di mana hadirnya orang ramai di dalam masjid dan akan adanya pengumuman “isyarat umum”. Pemberitahuan ini akan diberitahu melalui pembesar suara di menara azan al-Aqsa untuk memanggil orang ramai agar hadir dan melindungi masjid. Gerakan Islam juga turut menggerakkan operasi bas “al-Bayariq” untuk mengangkut para jemaah dari kawasan bandar dan pedalaman terutamanya pada musim-musim yang genting. Mereka percaya dan yakin bahawa kehadiran orang ramai di dalam masjid mampu menghalang usaha dan perancangan penjajah.

Tindakan ini telah berjaya beberapa kali, namun begitu, apabila bilangan penduduk Palestin yang masuk ke dalam semakin meningkat, maka polis penjajah terpaksa meningkatkan lagi pengawasan dan melindungi para penceroboh. Kemudian, setelah berlalunya beberapa tempoh, mereka telah melarang penduduk Palestin dari memasukinya terutamanya apabila pencerobohan dilakukan pada waktu pagi serta mengetatkan peraturan untuk masuk mengikut umur tertentu. Di samping itu, mereka juga mengenakan polisi dengan menyuruh penduduk meninggalkan kad pengenalan di pintu masjid bagi merekod maklumat atau hubungi mereka jikalau perlu.

Ribath terdiri daripada pelbagai jenis. Antaranya, ribath pemuda di dalam musolla al-Qibli pada waktu malam sebelum hari yang diumumkan pencerobohan akan berlaku secara meluas. Mereka akan bermalam di dalamnya bagi mengelakkan daripada tidak dapat masuk ke masjid pada waktu subuh keesokannya. Selain itu, para murabithun juga telah berhadapan dengan pasukan polis dan penceroboh dengan batu dan bahan letupan. Akibat terganggu daripada serangan itu, pasukan polis kebiasaannya terpaksa membatalkan pencerobohan pada hari tersebut atau memendekkan laluan pencerobohan iaitu bermula dari bab al-Magharibah dan berakhir beberapa meter dari bab as-Silsilah. Para murabithun telah menamakannya sebagai “laluan larikan diri”(misar al-hurub).

Pada tahun 2010 M, aktiviti ribath menjadi semakin tersusun. Gerakan Islam “as-Shaqq as-Shamali” yang berada di al-Aqsa telah mengasaskan projek “menghidupkan majlis ilmu di Masjid al-Aqsa”. Melalui projek ini, Gerakan Islam dan institusi-institusinya telah berjaya menarik ratusan rakyat Palestin, lelaki dan perempuan untuk masuk ke masjid pada awal pagi subuh dan mengikuti halaqah ilmu yang menyediakan pelbagai topik. Antaranya, tahfiz, tafsir al-Quran, ulum Syariah, sejarah al-Quds dan tajuk-tajuk ilmiah lain lagi.

Halaqah-halaqah ilmu telah diadakan di laluan-laluan pencerobohan yang mana bertujuan untuk meramaikan penduduk Palestin sebagai ganti kepada penceroboh Israel. Peserta-peserta dalam halaqah ini akan bertakbir sebaik sahaja melihat penceroboh masuk ke dalam. Kadang-kadang, mereka mendekati kumpulan penceroboh lalu melaungkan takbir secara berterusan. Hal ini secara tidak langsung akan mengganggu mereka dan memaksa mereka untuk menyegerakan pencerobohan mereka dengan cepat.

Palestin telah menyaksikan operasi mati syahid pada akhir tahun 2015 M yang mana Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel ketika itu telah melarang ahli-ahli parlimen(Knesset) dari memasuki al-Aqsa atas “alasan keselamatan”. Arahan ini telah dibatalkan pada bulan Julai 2018 M dengan syarat perlu dipantau polis dan dilarang menggunakan media sosial ketika mana penduduk Palestin berkumpul di dalam al-Aqsa serta ia mesti dilakukan setiap tiga bulan sekali.

Oleh yang demikian, polis penjajah telah menangkap ramai jemaah sama ada dari dalam masjid ataupun di bahagian pintunya serta memerintahkan pengusiran sebahagian daripada mereka. Mereka juga mencuri tempat duduk yang diduduki oleh rakyat Palestin serta melakukan penyiasatan ke atas penduduk. Selain itu, mereka juga telah menutup masjid sepenuhnya sehingga berakhirnya pencerobohan serta mengharamkan “Gerakan Murabithun” dan gerakan Islam pada tahun 2015 M.

Selepas daripada insiden ini, penduduk Palestin menjadi semakin lemah berhadapan dengan pencerobohan. Namun begitu, pelbagai konfrontasi baru yang wujud di bandar al-Quds ini seperti “Hibbah Bab al-Asbath” pada tahun 2017 M, dan gerakan mempertahankan bab ar-Rahmah pada tahun 2019 M. Penentangan ini menunjukkan bahawa penduduk Palestin bersedia untuk melawan dan terus menggagalkan projek-projek rejim Israel.

Related Articles