Apakah Kelebihan-kelebihan (fadael) dan Kepentingan Masjidilaqsa?

by admin
2344 views

Banyak Sunnah an-Nabawiyah menjadi bukti dan hadis hadis serta peristiwa yang merujuk kepada kedudukan Masjid al-Aqsa, kelebihannya dan kesuciannya. Ditambah pula keperihatinan Nabi s.a.w dan para sahabat baginda terhadapnya. Dan tiada yang lebih jelas dari solat Nabi dan para muslimin yang menghadap Masjid al-Aqsa dan menjadikannya sebagai kiblat mereka sepanjang tempoh tinggal di Mekah dan hampir sepanjang setahun setengah pada era Madinah. Dan telah diriwayatkan oleh ibnu Abbas r.a bahawasanya: “Rasulullah s.a.w bersolat di Mekah dengan menghadap ke arah Baitulmaqdis dan Kaabah dihadapannya, begitu juga selepas baginda berhijrah selama enam belas bulan, kemudian beralih ke Kaabah.” -Musnad Imam Ahmad dan al Tarmizi.

Dalam hadis dari Abi Zar r.a, “Dia telah berkata: Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama dibina di muka bumi ini? Baginda bersabda: Masjid al-Haram. Dia berkata: aku bertanya lagi: kemudian masjid mana? Baginda bersabda: Masjid al-Aqsa. Aku bertanya lagi: berapa tempoh antara keduanya? Baginda berkata: empat puluh tahun.” (Riwayat al Bukhari). Dalam keterangan ini menerangkan keagungan kedudukan Masjid al-Aqsa yang berkait dengan Masjid al-Haram yang merupakan masjid kedua di muka bumi, merupakan tempat menyembah Allah lalu mendapat kemuliaan awal dan kemuliaan berkait dengan Masjid al-Haram.

Nabi mengkhabarkan bahawa Masjid al Aqsa satu dari tiga masjid yang diperintahkan kita bersusah payah bagi menempuh perjalanan dan musafir semata untuk mendirikan solat di sana. Padanya terdapat keberkatan dan ganjaran pahala yang besar, sabda Rasul s.a.w “janganlah kamu bersusah payah merantau kecuali ke tiga masjid; Masjid al-Haram, masjidku ini(Masjid an-Nabawi) dan Masjid al-Aqsa” – Muttafaqun Alaih.

Apabila bercakap tentang perjalanan Israk dan Mikraj, kita tidak dapat mengelakkan dari menyebut Masjid al-Aqsa dan bagaimana ianya dikaitkan.

Di dalam sunnah, terdapat banyak hadis dan peristiwa yang menggambarkan perjalanan dengan butir-butir seperti; perjalanan dengan makhluk tunggangan yang dikenali sebagai al-Buraq antara kedua-dua masjid dalam waktu yang singkat, perhimpunan semua Nabi (saw) di sana, dan kemudiannya Rasulullah (saw) memimpin mereka dalam solat berjemaah.

Selepas itu, Rasulullah (saw) naik dari Masjid al-Aqsa menuju ke syurga, di mana baginda (saw) menerima perintah untuk umat Islam mendirikan solat.

Nabi (saw) menggambarkan al-Buraq sebagai “makhluk putih yang panjang, besar sedikit daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal … apabila meligas, [ia] akan meletakkan langkahnya sejauh hujung penglihatannya. Saya menunggangnya sehingga saya sampai ke Baitulmaqdis [al-Aqsa]”.

Di sana saya mengikatnya di tempat yang biasa para Nabi (as) mengikat haiwan tunggangan mereka, seterusnya saya masuk ke Masjid al-Aqsa dan mendirikan solat sunat dua rakaat. Selepas itu, Jibril membawakan saya sebotol arak dan sebotol susu; dan saya memilih yang  terakhir.

Jibril berkata, “Kamu telah membuat pilihan mengikut kecenderunganmu. Kemudian kami naik ke langit.” 1 -Ia adalah sebahagian daripada hadis yang panjang yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.

(untuk maklumat lanjut mengenai perjalanan Isra dan Mi’raj, Klik di sini).

Perjalanan Israk dan Mikraj telah menggambarkan hubungan antara Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa dan kepentingan al-Aqsa.

Bagaimanapun, Rasulullah (saw) berkata dalam hadis yang diriwayatkan oleh Umm Salamah-isteri Rasulullah (saw)-berkata, “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sekiranya ada yang memakai ihram untuk haji atau umrah dari Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram, maka dosa-dosanya yang lalu dan dosa-dosanya yang kemudiannya akan diampuni”.[1]

Ihram bermaksud: Melafazkan Talbiah atau memakai pakaian Ihram yang ditetapkan, para jemaah menguatkan suara mereka sambil melafazkan Talbiah.

Masjid al-Aqsa adalah salah satu dari empat masjid yang Dajjal tidak akan masuk seperti yang disebutkan dalam hadis sahih. Ini jelas menunjukkan kepentingan dan kesucian empat masjid ini. Rasulullah (saw) bersabda tentang Dajjal, “Dia akan memerintah bumi selama 40 hari, kekuasaannya akan sampai ke mana-mana tempat di dunia tetapi dia tidak akan memasuki empat masjid; Ka’abah, Masjid an-Nabawi, Masjid al-Aqsa dan at-Tur (Gunung Sinai)”[2]

Kerana itulah banyak hadis datang bagi menjelaskan kelebihan solat di Masjid al-Aqsa, dari Abdullah bin Amru r.a telah berkata: “selepas nabi Sulaiman bin Daud a.s selesai membina Baitulmaqdis, dia meminta dari Allah tiga perkara; kekuasaan yang luar biasa, kerajaan yang besar yang tiada siapa akan mendapat begitu selepasnya, dan tiada seorangpun yang datang ke masjid ini tidak mahukan sesuatu kecuali untuk mendirikan solat di dalamnya melainkan setelah gugur segala dosanya sepertimana hari dia dilahirkan ibunya. Lalu rasulullah s.a.w bersabda: adapun 2 darinya telah diberikan, aku berharap yang ketiga juga telah diberikan.” (Riwayat Ahmad, An Nasaie, Ibnu Majah, telah disahihkan al Bani dalam kitab sahih tarhib wa targhib). Dalam hadis ini menunjukkan kelebihan Masjid al-Aqsa dan solat didalamnya. Dan harapan Nabi yang disebut di dalam Hadis direalisasikan untuk Nabi kita s.a.w dengan izin Allah seperti diqabulkan doa Nabi Sulaiman a.s oleh Allah.

Antara keberkatan Masjid al-Aqsa digandakan pahala solat di dalamnya, dari Abi Darda’ dan Jabir r.a dari Nabi s.a.w telah bersabda:”kelebihan solat di Masjid al-Haram atas solat lain seratus ribu kali solat, di masjidku ini seribu kali solat, dan di Masjid Baitulmaqdis lima ratus  kali solat.” (Dikeluarkan oleh al Baihaqi dalam Sunan al Sughra no1821 dan dihasankan olehnya).

Dalam hadis yang lain menjelaskan, solat di Masjid al-Aqsa menyamai seperempat solat di Masjid an-Nabawi, merujuk kepada yang datang dari Abi Zar r.a: dia bertanya Rasulullah (s.a.w) berkenaan solat di Masjid an-Nabawi lebih afdhal atau solat di Masjid al-Aqsa? Lalu baginda bersabda: solat di masjidku (Masjid an-Nabawi) ini lebih baik dari empat solat di Masjid al-Aqsa. Alangkah nikmatnya tempat solat itu, ia adalah tanah mahsyar dan mansyar, akan datang satu zaman seorang lelaki melibas cemeti atau busur ketika melihat olehnya Baitulmaqdis ; lebih baik baginya atau lebih disukai baginya dari seluruh isi dunia.” (Riwayat al-Baihaqi dan di sahihkan al-Bani dalam sahih Tarhib wa targhib).

Hadis ini menunjukkan bahawa pahala solat di Masjid al-Aqsa menyamai dua ratus lima puluh solat kerana solat di Masjid an-Nabawi sama dengan seribu solat di selainnya kecuali solat di Masjid al-Haram, berdasarkan hadis Nabi: “Solat di masjidku ini sama seperti seribu solat di masjid lain kecuali solat di Masjid al-Haram.” Muttafaqun Alaih.

Apa yang penting untuk diberi perhatian di sini: bahawa Nabi s.a.w memuji Masjid al-Aqsa dengan menyebut “Alangkah nikmatnya tempat solat itu.” Kemudian menjelaskan Baitulmaqdis akan menjadi tempat mahsyar dan mansyar pada hari kiamat, antara pengajaran lain:

  • Sahabat prihatin untuk bertanya mengenai Masjid al-Aqsa dan solat di dalamnya.
  • Dalam hadis menunjukkan kepada besarnya tanggungjawab yang dipikulkan ke atas umat Islam terhadap Masjid al-Aqsa.
  • Hadis menunjukkan ketinggian Masjid al-Aqsa dalam jiwa orang islam bahkan tempatnya juga tinggi dalam syarak.
  • Hadis juga merujuk bahasa isu Masjid al-Aqsa akan terus hidup dalam jiwa umat islam yang bekerja untuk Masjid al-Aqsa.
  • Hadis juga menunjukkan ujian terhadap al-Aqsa hari ini akan bertambah sukar sehinggakan tiada lagi orang dapat menetap di sekitar Masjid al-Aqsa.

Peringatan: ada beberapa riwayat yang menyebut kelebihan solat di al-Aqsa menyamai lima puluh ribu solat tetapi ia tidak sahih menurut hukum ulama hadis.

[1]   Narrated by Abu Dawood

[2]  Narrated by Ahmad-musnad

Related Articles