Kubah-kubah Al-Aqsa

by admin
6020 views

Di dalam Masjid al-Aqsa terdapat beberapa buah kubah cantik yang menghiasi halaman masjid. Kesemua kubah ini telah dibina semenjak pemerintahan Islam lagi bermula dari zaman Umaiyah hinggalah ke zaman pemerintahan al-Ayyubi, Mamluk dan Uthmaniyyah. Usaha-usaha tersebut merupakan manifestasi umat Islam akan keprihatinan mereka dalam memberi impak dan sumbangan untuk menghidupkan Masjid al-Aqsa. Kubah-kubah ini telah dibina atas pelbagai tujuan antaranya dijadikan tempat untuk para jemaah menunaikan solat, majlis-majlis ilmu  atau tempat untuk melakukan ibadah dan iktikaf. Berikut merupakan 15 buah kubah yang terdapat di dalam halaman Masjid al-Aqsa:

  Kubah as-Sakhrah al-Mushrifah

(Kubah Batu / The Dome of the Rock)

Merupakan salah satu model seni bina Islam yang paling agung dan indah pada era awal pemerintahan Islam di dunia. Kubah ini telah dibina semasa kerajaan Umaiyah oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 65-86 H bersamaan dengan tahun 685-705 M di kawasan batu yang dimuliakan, iaitu tempat Nabi Muhammad SAW berangkat naik ke langit yang ketujuh. Pembinaannya telah dilakukan di atas batu berbentuk segi lapan dan di atasnya terdapat sebuah kubah berbentuk sfera yang disaduri dengan plat emas. Ketinggiannya mencapai sehingga 35 m dan di atasnya lagi terdapat bulan sabit dengan ketinggian ukuran 4 m. Manakala di bahagian dalam kubah ini telah dihiasi dengan dekorasi, mozek dan kaligrafi yang cantik.

Selain itu, ia merupakan salah satu mercu tanda seni bina Islam tertua yang terletak di kawasan tempat tumpuan Masjid al-Aqsa. Pembinaannya telah dilakukan di tengah-tengah kawasan terbuka dengan jarak empat meter dari kedudukan Masjid al-Qibli serta memiliki empat buah pintu. Di sekeliling dinding kubah ini dihiasi dengan porselin yang terdapat ukiran tulisan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Isra’. Untuk pergi ke kubah ini, terdapat lapan buah baikah yang boleh dilalui dengan menaiki anak-anak tangga yang berada di sekitarnya.

Kubah dan segala seni binanya masih kekal seperti sama dengan keadaan pertama kali dibina semasa zaman kerajaan Umaiyah. Hanya ada beberapa perubahan kecil sahaja yang dilakukan pada zaman kerajaan-kerajaan kemudiannya seperti:

  1. Zaman Kerajaan Abbasiyah

Kerajaan Abbasiyah sangat mengambil perhatian terhadap bangunan Kubah as-Sakhrah dengan melakukan beberapa kali kerja-kerja pembaikpulihan. Usaha yang paling ketara adalah yang dilakukan oleh Khalifah al-Ma’mun pada tahun 216 H bersamaan tahun 831 M serta ibu kepada al-Muqtadir Billah iaitu khalifah kerajaan Abbasiyah dengan menambah pintu-pintu kayu besar pada tahun 301 H bersamaan tahun 913 M.

  1. Zaman Kerajaan Fatimiyah

Kerajaan Fatimiyah telah membaiki Kubah as-Sakhrah ketika di bawah pemerintahan Khalifah al-Zaher atas arahan Abu Hassan bin al-Hakam pada tahun 413 H bersamaan tahun 1022 M selepas berlakunya gempa bumi di  Kota al-Quds. Kemudian, diteruskan usahanya oleh Khalifah Abu Jaafar Abdullah pada tahun 467 H bersamaan tahun 1075 M.

  1. Zaman Penjajahan Tentera Salib

Tentera Salib yang telah menjajah Kota al-Quds pada tahun 492 H bersamaan 1099 M telah mengubah fungsi Kubah as-Skahrah menjadi sebuah gereja dengan menamakannya sebagai Templum Domini (Temple of the Lord). Mereka telah melakukan pengubahsuaian terhadap binaan kubah ini dengan meletakkan hiasan beberapa buah salib dan patung-patung. Mereka juga telah memagari sekelilingnya dengan  pagar besi bagi menghalang orang luar dari mengambil kepingan batu. Selain berfungsi sebagai gereja, mereka juga menjadikannya sebagai markas bagi pasukan “Kesatria Templar” dan pusat berkumpul sepanjang tempoh peperangan Salib. Walau bagaimanapun, Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya mengembalikan kemegahan Islam ke atas Kubah as-Sakhrah selepas membebaskan Kota al-Quds pada tahun 583 H bersamaan tahun 1187 M.

  1. Zaman Kerajaan Salahuddin al-Ayyubi

Salahuddin al-Ayyubi telah menjalankan projek membaik pulih Kubah as-Sakhrah selepas berjaya membebaskannya daripada tentera Salib. Beliau telah memusnahkan monumen-monumen yang telah ditambah ke atas bangunan ini dan memperbaharui dinding di bahagian dalamnya serta menyadurnya dengan emas. Antara sumbangan yang ditinggalkan pada  zaman ini adalah meletakkan kayu-kayu penghalang di sekeliling Kubah as-Sakhrah bagi menghalang orang luar daripada mengambilnya.

  1. Zaman Kerajaan Mamluk

Kerajaan Mamluk telah melakukan beberapa kali kerja-kerja pembaikpulihan serta sentiasa   memberi perhatian yang begitu tinggi terhadap kubah ini seperti yang dilakukan oleh al-Zhohir Baibars  yang mana telah melakukan pengubahsuaian secara menyeluruh. Beliau juga telah memperbaharui hiasan mozek-mozek di bahagian luar kubah yang berbentuk segi lapan ini pada tahun 659 H bersamaan tahun 1260 M. Begitu juga, Raja al-Adil Zainuddin Kitbugha al-Mansuri yang telah melakukan penambahbaikan pada tahun 694 H bersamaan tahun 1294 M. Di samping itu, Sultan Muhammad bin Qalawun dan al-Amir Muhammad bin Saifuddin al-Zhohiri juga turut terlibat dalam melakukan usaha penambahbaikan.

  1. Zaman Kerajaan Uthmaniyyah

Para pemerintah pada zaman ini sangat mengambil berat terhadap binaan Kubah as-Sakhrah dengan melakukan penambahan terhadap seni binanya. Usaha ini boleh dilihat melalui Sultan Sulaiman al-Qanuni yang telah menggantikan mozek-mozek di dinding kubah dengan kepingan porselin yang telah diimport khas dari Istanbul pada sekitar tahun 955-969 H bersamaan tahun 1548-1561 M. Mereka juga telah membaikinya dengan membuka tetingkap di dinding kubah ini dari dalam dan menggantikannya dengan pintu-pintu yang disadurkan dengan tembaga. Sultan Abdul Majid ll juga melakukan pembaikpulihan secara menyeluruh ke atas Kubah as-Sakhrah dengan membina semula sebahagian besar daripadanya pada tahun 1270 H bersamaan tahun 1853 M. Sultan Abdul Aziz bin Sultan Mahmud ll pula telah menyelaputi kubah dengan plat timah serta menggantungkan lampu yang besar di antara pintu selatan dan mimbarnya pada tahun 1291 H bersamaan tahun 1874 M. Sultan Abdul Hamid ll juga pernah mengarahkan supaya surah Yasin diukir dengan tulisan khat thuluth di bahagian luar kubah yang paling atas pada tahun 1293 H bersamaan tahun 1876 M.

        

  1. Zaman Kerajaan Hasyimi (Jordan).

Sejak kerajaan Hasyimi diwasiatkan untuk menjaga Masjid al-Aqsa, mereka berusaha untuk memakmurkan lagi Kubah as-Sakhrah al-Mushrifah. Perkara ini boleh dilihat melalui usaha Raja Abdullah l iaitu pengasas kerajaan ini. Beliau telah mengeluarkan arahan agar dilakukan pembaikpulihan terhadap kubah secara menyeluruh pada tahun 1342 H bersamaan tahun 1924 M. Kemudian, diikuti dengan inisiatif di bawah pemerintahan Raja Hussein Bin Talal dengan menyadurkan kubah dengan  menggunakan kepingan  aluminium emas. Beliau juga telah memasang marmar di dinding-dinding bahagian dalam dan membaiki jubin seramik di bahagian luar pada tahun 1372 H bersamaan tahun 1953 M. Beliau juga telah melakukan pembinaan semula fasa ketiga dari tahun 1389 H bersamaan tahun 1969 M hingga ke tahun 1415 H bersamaan tahun 1994 M di mana bahagian luar kubah telah digantikan dengan bahan yang baru daripada tembaga yang bersalutkan zink dan emas 24 karat. Hiasan dalaman pula dikekalkan dengan kubah berasaskan kayu. Mereka juga telah memasang alat penggera kebakaran dan pemadam api di dalamnya dan masih terus menjaga Kubah as-Sakhrah sehingga ke hari ini serta melakukan penambahbaikan yang diperlukan melalui Jabatan Wakaf Islam al-Quds.

 Kubah as-Silsilah

(Kubah Silsilah / Dome of the Chain)

Kubah ini telah dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan pada tahun 65-68 H bersamaan 685-688 M. Para sejarawan berselisih pandangan mengenai sebab pembinaan kubah ini. Kebanyakannya mengatakan bahawa ia dibina sebagai model khas di dataran Kubah as -Sakhrah al -Musyrifah (Dome of the Rock). Ada juga yang mengatakan bahawa namanya diambil daripada rantai besi yang tergantung di tengah-tengah kubah ini tetapi perkara ini tidak mempunyai hujah untuk membuktikannya. Bangunan kubah ini bersaiz kecil dengan bentuk dan hiasan yang cantik serta terdapat sebelas buah tiang dengan satu mihrab. Namun, ianya telah bertukar menjadi sebuah gereja yang dinamakan sebagai Gereja St. James semasa penawanan tentera Salib di Kota al-Quds. Walau bagaimanapun, ia telah dikembalikan semula kepada umat Islam selepas pembebasannya oleh Salahuddin pada tahun 583 H bersamaan 1187 M.

Pada tahun 1433 H bersamaan tahun 2012 M, Jabatan Wakaf Islam (Islamic Endowments Department) dan Agensi Kerjasama dan Koordinasi Turki (Turkish Cooperation and Coordination Agency-TECA) telah bekerjasama dalam melakukan pembaikpulihan terhadap bangunan kubah ini secara menyeluruh dengan menggantikan seramik lautan (ocean faience) pada dinding kubah dengan seramik yang baru buatan khas dari Kota Iznik, Turki.

  Kubah al-Mikraj

(Kubah Mikraj / The Dome of Ascension)

Dibina pada zaman pemerintahan al-Ayyubi pada tahun 597 H bersamaan 1201 M di atas runtuhan kubah yang pernah dibina pada zaman pemerintahan awal Islam dalam peristiwa Mikraj Nabi Muhammad SAW. Ianya adalah sebuah kubah kecil berbentuk segi lapan dan mempunyai sebuah mihrab. Pengubahsuaiannya telah disempurnakan pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah. Istimewanya, terdapat juga sebuah kubah kecil lagi yang yang terletak di atasnya dan kelihatan seolah-olah seperti sebuah mahkota. Dahulunya, kubah ini telah disaduri dengan kepingan-kepingan timah tetapi telah diubahsuai dan digantikan dengan kepingan-kepingan batu.

  Kubah Musa

(Kubah Musa / Dome of Moses)

Terletak di tengah-tengah masthabah Nabi Musa AS di bahagian barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Kubah ini telah dibina oleh Raja Najmuddin Ayoub pada tahun 647 H bersamaan tahun 1249 M. Berbentuk segi empat dan terdapat sebuah kubah di atasnya. Di dalam dan di luarnya pula terdapat beberapa buah mihrab yang mempunyai ciri binaan yang sederhana. Selain itu, terdapat juga sebuah pintu masuk di sebelah utara dan berada di atas masthabah yang dikelilingi dengan mihrab. Merujuk kepada sebilangan pendapat, nama kubah ini diambil bersempena dengan Nabi Musa A.S. Sementara itu, ada juga yang mengatakan ia diambil dari nama salah seorang guru yang pernah mengajar di sini. Kubah ini juga dikenali sebagai “Kubah Pokok” bersempena dengan pokok kurma yang ditanam berdekatan dengan kubah tersebut dan ada juga menamakannya dengan ‘Kubah Yang Luas.’  Kini, bangunan tersebut digunakan sebagai pusat menghafal al-Quran.

  Kubah an-Nahwiyah

(Kubah Nahwiyah / Grammarian Dome)

Kubah ini telah dibina oleh Raja Isa al-Ayoubi pada tahun 604 H bersamaan tahun 1207 M untuk dijadikan sebagai tempat pengajian ilmu bahasa seperti ilmu sorof dan nahu. Namanya diambil merujuk kepada fungsinya. Terdapat tiga buah ruang yang bersambung dan sebuah kubah yang berada di atasnya. Sekolah ini memainkan peranan penting dalam gerakan intelektual di Baitul Maqdis sehingga kurun ke-12 H bersamaan tahun 17 M. Selain itu, pernah digunakan juga sebagai perpustakaan bagi Majlis Agama Islam Tertinggi (Supreme Islamic Council) yang kemudiannya telah bertukar menjadi ibu pejabat kejuruteraan seni bina dalam usaha untuk membaiki Kubah as-Sakhrah al-Musyrifah pada tahun 1956 M. Kini, fungsinya telah dijadikan sebagai tempat menjalankan kerja-kerja penghakiman yang dikenali juga sebagai Mahkamah Rayuan Syariah al-Quds.

      Kubah Sulaiman

(Kubah Sulaiman / Suleiman’s Dome)

Nama kubah ini diambil bersempena dengan nama Sulaiman bin Abdul Malik. Pada zaman pemerintahan al-Ayyubi, kubah ini telah dibina semula iaitu pada tahun 600 H bersamaan dengan tahun 1203 M. Kemudian, kerja-kerja menaiktaraf dilakukan pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah. Kubah ini berbentuk segi lapan dan terdapat dua puluh empat buah tiang marmar. Di dalamnya, terdapat batu-bata yang dipercayai adalah sebahagian daripada batu suci Baitul Maqdis. Batu ini pernah dikelilingi dengan pagar besi tetapi kemudiannya telah dibuang. Di samping itu, terdapat juga sebuah mihrab di sebelah selatan dan pintu di sebelah utara. Binaan kubah ini terletak di tengah-tengah dataran utara Masjid al-Aqsa dan di sebelah barat daya dari Pintu Faisal. Kini, fungsinya telah digunakan sebagai pusat pendakwah Muslimat di dalam Masjid al-Aqsa.

 Kubah al-Mizan

(Kubah Mizan / Scale’s Dome)

Digelar dengan nama ini kerana ia bercantum dengan baikah Selatan yang dikenali sebagai al- Mizan. Dari segi struktur binaan, bentuknya seperti sebuah mimbar. Oleh itu, dikenali juga dengan nama, “Mimbar Burhanuddin” bersempena dengan nama seorang Ketua Hakim Negara iaitu Burhanuddin. Beliaulah yang telah membina sebuah mimbar daripada marmar di tempat mimbar kayu yang diletakkan oleh Salahuddin. Mimbar ini digunakan pada waktu solat sunat Hari Raya dan solat sunat Istisqa’ (meminta hujan) yang biasanya dilaksanakan di halaman masjid. Selain itu, ia juga dikelilingi dengan dua buah Mihrab.

     Kubah Nabi

(Kubah Nabi / The Prophet’s Dome and Niche)

Merupakan sebuah kubah kecil yang terletak di barat laut Kubah as-Sakhrah berhampiran dengan Kubah al-Mikraj. Tarikh asal bagi pembinaan kubah ini bermula pada zaman pemerintahan Umaiyah. Walau bagaimanapun, proses pembinaannya telah melalui dua fasa; iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Sultan Abdul Majid II iaitu pada tahun 945 H bersamaan tahun 1538 M dan tahun 1261 H bersamaan tahun 1845 M. Ia dipercayai dibina di tempat Nabi Muhammad SAW mengimamkan solat bersama para nabi dan malaikat dalam peristiwa Isra’.

 Kubah al-Arwah 

(Kubah Arwah / The Spirits Dome)

Pada kurun ke-10 H bersamaan dengan 16 M, kubah ini telah dibina di sebuah tempat yang dikenali sebagai tempat persemadian roh-roh (The Grotto of Spirits) sepertimana yang termaktub dalam manuskrip di atas lantai kubah ini. Ia adalah sebuah kubah kecil berbentuk segi lapan dan terdapat lapan buah tiang marmar halus. Nama kubah Arwah ini diambil berdasarkan kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan gua atau dikenali sebagai gua roh.

 Kubah al-Khidr

(Kubah Khidir / Al-Khadr’s Dome)

     Merupakan sebuah kubah kecil yang terletak di barat laut Kubah as-Sakhrah. Pembinaannya telah dijalankan pada kurun ke-10 H bersamaan dengan 16 M. Terdapat enam buah tiang marmar yang di bahagian atasnya terdapat enam buah blok batu yang menjadi asas pembentukan bulatan di bahagian dalam dan berbentuk enam segi di bahagian luar. Di dalamnya juga terdapat jubin merah yang berbentuk mihrab menghala ke arah kiblat. Kubah ini dikatakan tempat Nabi Khidir A.S pernah menjadi imam dan solat di dalamnya. Di bawahnya pula, terdapat sebuah perkuburan yang dikenali sebagai “Makam Khidir” di mana digunakan sebagai tempat berzikir, berdoa, menuntut ilmu dan iktikaf (kesufian). Walaupun begitu, kedua-dua perkara ini tidak mempunyai bukti yang kukuh.

*Catatan: Kubah ini juga dijadikan sebagai tempat bagi orang mubaligh (orang yg menjadi penghubung antara imam dengan makmum ketika sembahyang berjemaah)

    Kubah Yusuf Agha

(Kubuh Yusuf Agha / Dome of Yusuf Agha)

Sebuah ruang berbentuk segi empat  dan di atasnya terdapat sebuah kubah kecil yang dibina dengan sentuhan seni bina Uthmaniyyah. Terletak di sebelah barat Masjid al-Qibli dan berhampiran dengan Muzium Islam. Gabenor Uthmaniyyah iaitu Yusuf Agha telah membina kubah ini pada tahun 1092 H bersamaan  1681 M dan disebabkan itu dinamakan sebagai Kubah Yusuf Agha bersempena dengan nama pembinanya. Kini, digunakan sebagai kaunter pertanyaan dan dijadikan tempat jualan tiket untuk masuk ke Muzium Islam.

     Kubah Yusuf

(Kubah Yusuf / Yusuf’s Dome)

Dibina pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1092 H bersamaan 1681 M. Tujuan pembinaannya adalah untuk memelihara semua inskripsi (tulisan berbentuk ukiran)  yang telah diukir oleh al-Ayyubi pada tembok Kota Baitul Maqdis selepas berlakunya proses pembinaannya semula. Adapun kerajaan Uthmaniyyah pada ketika itu telah melakukan proses pembaikpulihan pada tembok-tembok dan memindahkan semua inskripsi itu ke kubah ini. Maksud Yusuf di sini adalah nama asal Sultan Salahuddin (Yūsuf ibn Ayyūb). Kubah ini berbentuk segi empat tanpa dinding kecuali ditutup pada bahagian selatan dari Kubah as-Sakhrah. Terdapat dua buah tiang di bahagian hadapan serta mengandungi dua buah ukiran tulisan. Pertama, di dalam bahasa Arab yang mana menceritakan tentang apa yang telah dilakukan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Manakala, ukiran kedua pula di dalam bahasa Turki yang disebutkan nama orang yang telah melakukan pembaharuan pada kubah ini, iaitu Ali bin Yusuf Agha.

   Kubah ‘Usysyaq an-Nabi

(Kubah Pencinta Nabi / The Lovers of  the Prophet (PBUH) Dome)

Dibina pada tahun 1233 H bersamaan dengan tahun 1817 M iaitu pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah, Sultan Mahmud II. Selain itu, dikenali juga sebagai Dewan Sultan Mahmud II. Kini, nama kubah ini merujuk kepada aktiviti yang dilakukan oleh beberapa orang sheikh Sufi yang berkumpul dan berzikir di dalamnya. Kawasannya terletak di sebelah utara Masjid al-Aqsa berhampiran dengan Pintu  Gerbang al-‘Atam. Orang yang membina kubah ini adalah Sultan Uthmaniyyah, iaitu Sultan Mahmud II bin Abdul Hamid I. Kubah ini merupakan binaan berbentuk segi empat tanpa dinding serta mempunyai empat buah batang tiang batu yang berdiri teguh di atas masthabah segi empat yang ketinggiannya kira-kira setengah meter dari paras dataran Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Jadi, untuk memasuki ke kubah ini, perlulah menaiki beberapa buah anak tangga. Selain itu, di atas tiang-tiang ini juga terdapat sebuah kubah dan di tengah-tengah bahagian selatannya pula terdapat sebuah mihrab yang cantik.

    Kubah Mahed Isa

(Kubah Buaian Isa / Cradle of Issa Mosque)

Kubah ini merupakan bangunan bersejarah yang dibina oleh umat Islam pada zaman pemerintahan Umaiyyah. Ia terletak di sudut ruang solat al-Marwani dan telah dibina pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1315 H bersamaan dengan tahun 1898 M. Beberapa orang menyatakan bahawa al-Masih (Nabi Isa A.S) pernah tidur di tempat ini semasa waktu kecilnya. Akan tetapi, fakta ini tiada sebarang bukti yang kukuh. Orang Kristian juga tidak mempercayai cerita tersebut kerana mereka langsung tidak tahu dan tidak ambil peduli tentang tempat ini sebelum pembukaan Islam.

   Kubah as-Sheikh al-Khalili

(Kubah Sheikh al-Khalili / Mohammadiyah Lodge Dome al-Khalili)

Dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah pada tahun 1112 H bersamaan dengan tahun 1700 M. Nama kubah ini diambil bersempena dengan nama seorang Sheikh Sufi (ahli sufi) yang pernah menjadi imam dan melakukan ibadah di sini. Kini, tempat ini digunakan sebagai sebuah pejabat Urusan Pembangunan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.

 

Related Articles