Kepentingan Masjid Al-Aqsa kepada Sahabat

by admin
211 views

Bagi memahami kepentingan Masjid al-Aqsa dalam Islam, kita perlu membincangkan kepentingan dan kedudukannya dari kaca mata dan hati para sahabat Rasulullah (S.A.W). Pemahaman mereka terhadap kepentingan Masjid al-Aqsa selari dengan sunnah Rasulullah (S.A.W), praktikal, dan mudah difahami. Terdapat banyak riwayat dan bukti yang menggambarkan kepekaan sahabat-sahabat Rasulullah (S.A.W) terhadap Masjid al-Aqsa: beberapa orang daripada mereka bertanya Rasulullah (S.A.W) tentang tempat tersebut; beberapa orang sahabat yang lain telah menziarahi Masjid al-Aqsa apabila diberi peluang ke sana; segelintir daripada mereka menetap di perkarangan Masjid al-Aqsa bahkan telah menjaganya. Dalam artikel ini kita akan membincangkan beberapa contoh kecintaan mereka kepada Masjid al-Aqsa. Tidak dapat dinafikan bahawa subjek ini merupakan sebuah subjek yang sangat luas dan artikel ini hanya akan mengupas beberapa contoh.

Abu Dzar meminta petunjuk dan mengikutinya

Salah seorang daripada sahabat ulung Rasulullah (S.A.W), Abu Dzar al-Ghifari, pernah bertanya Baginda (S.A.W): “Ya Rasulullah, masjid manakah yang pertama dibina di atas muka bumi ini?” Baginda (S.A.W) menjawab “Masjid al-Haram”. Abu Dzar menyambung “Dan [masjid] seterusnya?” Baginda pula menjawab “Masjid al-Aqsa”. Abu Dzar terus menyambung pertanyaannya “Berapa lamakah tempoh antara pembinaan kedua-dua masjid itu?” Baginda menjawab “Empat puluh tahun”.”[1]

Bertahun-tahun kemudian – setelah mereka berhijrah ke Madinah – topik tersebut dikemukakan sekali lagi oleh Abu Dzar. Beliau berkata “Kami dahulunya berbincang dengan Rasulullah (S.A.W), masjid manakah yang lebih baik, Masjid an-Nabawi ataupun Baitulmaqdis (Masjid al-Aqsa). Baginda menjawab “Solat sekali di masjidku (Masjid an-Nabawi) lebih baik daripada solat sebanyak empat kali di sana (di Baitulmaqdis), dan betapa baiknya tempat solat tersebut. Akan tiba suatu masa apabila jika seorang lelaki memiliki tanah seluas seutas tali kuda yang boleh dilihat Baitulmaqdis daripadanya, tanah tersebut lebih baik baginya daripada seluruh dunia.”[2]

Abu Dzar juga menunjukkan ketertarikan beliau kepada Masjid al-Aqsa apabila beliau meriwayatkan “Rasulullah (S.A.W) datang kepada saya ketika saya sedang tidur di Masjid an-Nabawi. Baginda membangunkan saya dan berkata “Anda tidak patut tidur dalam masjid selepas ini”. Saya berkata “Mataku terlalu berat sehingga saya tertidur.” Kemudian baginda bertanya “Apa yang kamu akan buat jika mereka menyuruh kamu untuk keluar daripada masjid ini”? Saya menjawab “Saya akan ke Sham[3], tanah suci. Baginda terus bertanya “Jikalau mereka menyuruhmu keluar daripada tempat tersebut”? Saya menjawab “Moga dijauhkan!””[4]

Perbualan-perbualan ini menjadi bukti kecintaan dan keghairahan Abu Dzar terhadap al-Aqsa, dan betapa beliau sangat mementingkan Al-Aqsa. Perasaan beliau kemudiannya diterjemahkan kepada tindakan apabila beliau menyertai pembukaan Kota al-Quds semasa pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 15H/637M.

Khulafa ar-Rasyidin

Catatan sejarah menunjukkan betapa banyak perhatian yang diberikan oleh Khulafa ar-Rasyidin kepada Masjid al-Aqsa dan al-Quds. Contohnya, Abu Bakr (r.a) menyegerakan penghantaran tentera bagi membuka bumi Sham. Keprihatinan beliau kepada Masjid al-Aqsa dibuktikan dalam pesanan beliau kepada Khaled ibn al-Walid pada tahun 13H/634M, iaitu ketika Khalid di Iraq bagi menyertai angkatan tentera yang membuka Sham. Beliau mengirimkan pesanan berikut: “Segerakan saudaramu di bumi Sham. Demi Allah, sebuah kampung di bumi Al-Quds yang Allah telah buka kepada kita lebih berharga bagiku daripada sebuah Rostaq (kampung besar) di Iraq.”[5]

Misi pembukaan tersebut kemudiannya diteruskan oleh Khalifah kedua, Umar ibn al-Khattab, yang berjaya membuka Kota al-Quds. Selepas kemenangan tersebut, beliau mempersiapkan Masjid al-Aqsa bagi membolehkan orang Islam menunaikan solat pertama mereka di bahagian hadapan masjid. Kemudian, beliau dan beberapa sahabat lain, antaranya Saad ibn Abi Waqqas, Abdullah ibn Umar, Abdullah ibn Abbas, dan Mahmoud ibn al-Rabi’ al-Ansari al-Khazraji, memulakan ihram mereka daripada Masjid al-Aqsa.

Para sahabat memakai ihram untuk menunaikan haji atau umrah dari Masjid al-Aqsa.

Ihlal: Melafazkan talbiyah atau memakai ihram, para jemaah menguatkan suara semasa melafazkan talbiyah.

Para sahabat berlumba-lumba untuk mengenakan ihram dari Masjid al-Aqsa untuk merebut ganjaran bersolat dan menziarahi Masjid al-Aqsa dan Masjid al-Haram dalam satu perjalanan, dan mendapatkan ganjaran menuruti sunnah Rasulullah S.A.W yang dijanjikan Baginda (hokum: mustahab).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Umm Salamah – isteri Rasulullah S.A.W – berkata, “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Jika seseorang mengenakan ihram untuk menunaikan haji atau umrah dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram, segala dosanya yang lalu dan akan datang diampunkan”. [6] Oleh yang demikian, ramai sahabat melakukannya termasuk Ibn Umar r.a, yang berangkat mengerjakan haji dari Masjid al-Aqsa dan Saad Abi Waqqas – komander tentera Perang Qadisiyyah – yang berangkat dari sana. Abdullah bin Abi Ammar mengatakan, “Kami berangkat menunaikan umrah dari Masjid al-Aqsa Bersama-sama Kaab r.a dan Muaz bin Jabal r.a yang merupakan Ameer kami.” [7] Hal ini menunjukkan bahawa, ihram dari Masjid al-Aqsa adalah fiqh yang disepakati semua sahabat. Ia kemudian diteruskan oleh banyak ahli fuqaha dan tabi’ien termasuk; Wakih ibn Al-Jarrah, yang mengenakan ihram dari Baitulmaqdis ke Mekah. Kaum wanita turut mengenakan ihram dari Masjid al-Aqsa antaranya Umm Hakim binti Umayyah ibn Al Akhnas yang bermusafir ke Baitulmaqdis semata-mata untuk mengenakan ihram, selepas mendengar hadith yang diriwayatkan Umm Salamah.

Sahabat di perkarangan al-Aqsa

Perkaitan kedua sahabat agung berikut, Ubadah ibn as-Samit dan Shaddad ibn Aws, dengan Masjid al-Aqsa begitu masyhur; kubur-kubur mereka di tanah perkuburan Bab al-Rahmah di timur al-Aqsa menjadi saksi kepada kecintaan mereka kepada Kota al-Quds. Ubadah ibn as-Samit dilantik menjadi seorang hakim di Palestin dan hidup di Kota al-Quds dengan keluarga beliau. Beliau sangat kerap ke Masjid al-Aqsa, dimana beliau menjadi seorang ahli ibadah, cendekiawan, dan guru, sehingga beliau meninggal dunia.

Shaddad ibn Aws juga menghabiskan kehidupan beliau dengan menetap berdekatan dengan Masjid al-Aqsa di al-Quds, seperti yang diberitahu oleh Rasulullah (S.A.W). Shaddad pernah mengadu kepada Rasulullah (S.A.W) bahawa “Bumi menjadi semakin sempit untukku”, lalu Rasulullah (S.A.W) menjawab “Jangan risau. Sham akan dibuka, dan Al-Quds and dibuka, dan kamu dan anak-anak lelaki kamu akan menjadi imam-imam di sana, jika Allah mengizinkan.”[8] Sesungguhnya, Shaddad menetap di Kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa sebagai seorang imam sehingga beliau meninggal dunia, meninggalkan keturunan yang ramai di sana.

Shaddad bukanlah satu-satunya sahabat yang dianjurkan oleh Rasulullah (S.A.W) untuk menetap di al-Quds. Contohnya, seorang sahabat yang bernama Thi al-Asabi yang mendapat inspirasi daripada kata-kata Rasulullah (S.A.W) dan berhijrah ke al-Aqsa untuk menetap di sana. Beliau berkata “Saya bertanya Rasulullah (S.A.W), “Ya Rasulullah, jika kami akan menetap di suatu tempat setelah ketiadaanmu, ke manakah akan kamu arahkan kami (untuk menetap)?” lalu Rasulullah (S.A.W) menjawab “Menetaplah di Baitulmaqdis supaya jika kalian dikurniakan anak, mereka akan ke masjid (al-Aqsa).” [9]

Sahabat ulung Abdullah bin Umar r.a, hubungannya dengan Masjid al-Aqsa amat kuat dan unik. Beliau biasanya datang dari Hijaz ke Baitulmaqdis untuk menunaikan solat di Masjid al-Aqsa, kemudian pulang semula ke Hijaz tanpa meminum air dengan harapan dikurniakan ganjaran yang disebut dalam hadith berikut: “Setelah Sulaiman bin Dawud selesai mendirikan Baitulmaqdis, baginda memohon tiga perkara dari Allah S.W.T: Pengadilan yang selari dengan pengadilanNya, sebuah kerajaan yang tidak akan dimiliki sesiapa selepas baginda, dan tiada seorang pun yang datang ke masjid ini dengan niat menunaikan solat di sana kecuali orang tersebut akan keluar dalam keadaan bersih dari dosa seperti hari dia dilahirkan ibunya. ” Rasulullah S.A.W bersabda: “Dua permintaan dikabulkan, dan aku berharap yang ketiga juga dikabulkan. ” [10] “Para sahabat dan tabi’ein akan bermusafir ke Masjid al-Aqsa hanya untuk menziarahinya dan bersolat di sana tanpa ada tujuan selain itu”. [11]

Di samping itu, terdapat ramai sahabat yang hati mereka dan jiwa mereka terikat kepada Masjid al-Aqsa: Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Safiyya bint Huyayy, Muaz bin Jabal, Bilal ibn Rabah, Ayad bin Ghanam, Abdullah bin Umar, Khalid ibn al-Walid, Abu Dzar al-Ghiffari, Abu al-Darda ‘Uwaymar, Ubadah ibn al-Samit, Salman al-Farisi, Abu Masud al-Ansari, Tamim al-Dari, Amr ibn al-Aas, Abdullah bin Salam, Saeed bin Zaid, Abu Huraira, Abdullah ibn Amr ibn al-Aas, Muawiyah ibn Abi Sufyan, Auf bin Malik, dan Abu Jumaa al-Ansari (radhiallahu anhum).

Sahabiah dan al-Aqsa

Terdapat juga riwayat yang masyhur tentang keprihatinan sahabiah terhadap Masjid al-Aqsa. Salah satu cerita yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Musnadnya, adalah kisah Maymunah Bint Sa’d. Beliau bertanya Rasulullah (S.A.W), “Ya Rasulullah, khabarkan kepada kami tentang Baitulmaqdis”. Rasulullah (S.A.W) menjawab, “Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan (Al-Hashr) dan dikumpul (Al-Mahshar). Kunjunginya untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” Beliau kemudian bertanya, “Jika salah seorang daripada kami tidak mampu menziarahinya, apakah yang patut dilakukan?” Baginda menjawab “Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkan minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. [Perbuatan ini] akan menjadikan beliau seakan-akan solat di sana”[12].

Kita dapat melihat bahawa ramai sahabat memberikan tumpuan istimewa kepada Masjid al-Aqsa; mereka bertanya tentangnya dan sebahagian dari mereka berhijrah untuk menetap di sana. Tindakan-tindakan ini mencerminkan penghayatan mereka yang mendalam terhadap kesucian tempat ini. Orang Islam boleh mendapat ganjaran dengan menziarahi al-Aqsa. Menetap berdekatan dengan al-Aqsa, bekerja untuk pembebasannya, belajar mengenai fiqh dan ilmu yang berkaitan dengannya, dan menghidupkannya dengan solat dan doa merupakan antara perkara yang boleh dilakukan pada hari ini untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan mengembalikannya ke bawah penguasaan orang Islam. Hal ini supaya al-Aqsa akan mendapat kembali kemerdekaannya, kepentingannya, dan posisinya dalam kalangan umat Islam.

[1] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari

[2] Diriwayatkan oleh Al-Tabarani, dan Al-Albani mengklasifikasinya sebagai sahih dalam Saheeh At-Targhib wat Tarhib

[3] Sham merupakan wilayah (yang sekarang dikenali sebagai Syria dan sekitarnya) pada zaman Rashidun, Umayyah, dan kemudiannya Abbasiyah. Wilayah tersebut merangkumi beberapa kawasan jajahan Rom Timur yang ditawan selepas pembukaan Syria oleh tentera Islam pada kurun ke-7 Masihi, yang disempurnakan semasa Perang Yarmouk

[4] Diambil daripada “History of Damascus

[5] Diambil daripada “The Virtues of Bait al-Maqdis” karangan Ibn Almurjy

[6] Diriwayatkan Abu Dawood

[7] Diriwayatkan Ibn Hazm Al-Zahiri

[8] Diriwayatkan oleh Al-Tabarani

[9] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad

[10] Diriwayatkan oleh Ahmed, An-Nasa’I and Ibn-Majah

[11] Diriwayatkan oleh ibn-Taimia

[12] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Al-Tabarani

Related Articles