Sejarah Ringkas Masjid al-Aqsa al-Mubarak

by admin
2498 views

Zaman Nabi Adam A.S

Masjid al-Aqsa telah dibina di Baitul Maqdis selepas 40 tahun pembinaan Masjid al-Haram di Mekah dan merupakan masjid kedua yang dibina di atas muka bumi. Terdapat beberapa riwayat menunjukkan yang masjid ini dibina oleh Nabi Adam A.S.

Zaman Nabi Ibrahim A.S

Nabi Ibrahim A.S telah berhijrah ke Baitul Maqdis dengan ditemani Nabi Luth A.S selepas berhadapan dengan kedegilan dan kezaliman daripada kaumnya. Baitul Maqdis juga merupakan tempat kelahiran para nabi daripada keturunan Nabi Ibrahim A.S seperti Ismail, Ishak, Ya’kub dan Yusuf A.S. Semenjak itu, Masjid al-Aqsa telah menjadi tempat solat bagi para nabi.

Zaman Nabi Sulaiman A.S

Nabi Sulaiman A.S telah membina semula Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan apabila sebaik sahaja selesai pembinaannya, Baginda A.S telah meminta kepada Allah SWT tiga perkara dan salah satu daripadanya adalah “tiada seorang pun yang datang ke masjid ini untuk mahukan sesuatu kecuali mendirikan solat di dalamnya, maka akan terhapuslah dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”.

Walau bagaimanapun, tidak ada banyak maklumat daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai yang menceritakan tentang keadaan dan sifat masjid tersebut, tetapi yang pasti pembinaan ini adalah suatu pembinaan yang besar dan kukuh sesuai dengan keupayaan dan kemampuan yang Allah SWT berikan kepada Nabi Sulaiman A.S.

Zaman Nabi Zakaria A.S

Isteri Imran A.S telah bernazar bahawa anak yang bakal dilahirkan iaitu Maryam, akan berkhidmat dan mengabdikan diri di Masjid al-Aqsa, seperti mana kebiasaan yang dilakukan oleh orang-orang soleh daripada kaum Bani Israel ketika itu. Nabi Zakaria A.S telah memberi jaminan kepada isteri Imran A.S bahawa  Masjid al-Aqsa merupakan tempat yang mulia untuk mendirikan ibadah dan memberikan khidmat.

Zaman Nabi Isa A.S

Nabi Isa A.S telah menetap di Baitul Maqdis bersama dengan Nabi Yahya A.S. Mereka berdua telah berdoa  kepada Allah SWT di Masjid al-Aqsa al-Mubarak yang selamat, luas dan besar serta mempunyai balkoni-balkoni yang tinggi di dalamnya (menurut hadis Rasulullah SAW). Isa A.S ialah nabi terakhir yang lahir dan tinggal di Baitul Maqdis sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW dalam tempoh enam kurun.

Zaman Nabi Muhammad SAW

Umat Islam telah menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama mereka untuk menunaikan solat sepanjang tempoh pemerintahan Baginda SAW di Mekah dan kira-kira setahun setengah selepas hijrah di Madinah.

Pada tahun kesepuluh  kenabian, berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj iaitu salah satu mukjizat Baginda SAW di mana Baginda SAW telah diperjalankan ke Masjid al-Aqsa dengan menaiki ‘Buraq’ yang kemudianya diikatnya pada tembok al-Buraq di Masjid al-Aqsa. Tempat itu juga merupakan tempat para nabi mengikat tunggangan mereka. Kemudian, Baginda SAW telah menunaikan solat di situ dan kemudian naik ke langit dan pulang kembali ke Masjid al-Aqsa untuk mengimamkan solat bersama para nabi selepas Allah SWT mengumpulkan mereka di situ.  Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam al-Quran melalui firmanNya:

(سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ). [الإسراء: 1]

Maksudnya:  “Maha suci Allah SWT yang memperjalankan  hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Baitul Maqdis) yang diberkati sekelilingnya, bagi menunjukkan bukti kebesaran Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Al-Isra’: 1)

Pada tahun ke-9 H bersamaan 630 M iaitu semasa peristiwa peperangan Tabuk, Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan berita gembira tentang pembebasan Baitul Maqdis dan itu juga merupakan salah satu tanda-tanda kiamat.

Sepanjang hayatnya, Rasulullah SAW telah memberitahu kepada umat Islam tentang kelebihan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis melalui hadis-hadisnya.

Zaman Khulafa’ ar-Rasyidin

16 H bersamaan 636 M

Umat Islam telah membuka Baitul Maqdis dan Khalifah Umar al-Khatab turut terlibat secara langsung dalam pembukaan tersebut. Beliau mempersiapkan Masjid al-Aqsa dan menjadikannya tempat solat bagi umat Islam. Masjid ini telah dibina secara ringkas menggunakan tiang-tiang lama dan tanggam kayu yang boleh memuatkan sehingga tiga ribu orang jemaah dan pembinaannya dipengaruhi oleh seni bina Masjid an-Nabawi dari segi perancangannya dan elemen bangunan yang bercirikan kesederhanaan.

Zaman Umaiyyah

41 H bersamaan 662 M

Zaman Umaiyyah  bermula ketika Muawiyah bin Abi Sufian menjadi khalifah bagi umat Islam di Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Hal ini membuktikan kedudukannya yang sangat hebat.

66-72 H bersamaan 685-691 M

Masjid al-Aqsa menyaksikan aktiviti pembinaan semula yang sangat hebat dan besar-besaran yang dilaksanakan oleh Khalifah Abdul Malik Bin Marwan. Beliau telah membina semula masjid dengan menambah monumen-monumen penting di dalamnya di mana kesemuanya  memiliki ciri-ciri kecantikan, kekuatan dan ketahanan masjid. Antara bahagian penting yang dibina semula adalah:

  • Masjid al-Qibli: merupakan ruang solat utama di al-Aqsa yang merangkumi 15 ruwaq (lorong) dan satu ruwaq (lorong) yang paling tinggi di bahagian tengah.
  • Kubah as-Sakhrah: dibina di atas batu di mana Rasulullah SAW naik ke langit pada malam Isra’ dan Mikraj. Istimewanya kubah ini, ia berbentuk segi lapan dan berwarna emas. Kubah batu ini dianggap sebagai salah satu bangunan paling penting dalam sejarah Islam dan masih kekal dalam keadaan yang sama sehingga ke hari ini.
  • Begitu juga dengan Kubah as-Silsilah dan pintu-pintu gerbang yang besar dan cantik di dalam al-Aqsa, serta perkampungan di tenggara al-Aqsa yang kini dikenali sebagai ‘Ruang solat al-Marwani’.

96 H bersamaan 715 M

Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik telah mengangkat sumpah sebagai khalifah di halaman Masjid al-Aqsa.

130 H bersamaan 747 M

Baitul Maqdis telah dilanda gempa bumi yang dahsyat sehingga menyebabkan berlakunya banyak kerosakan di Masjid al-Aqsa seperti keruntuhan sebahagian Masjid al-Qibli dan kerosakan pada Kubah as-Sakhrah.

Zaman Abbasiyah

141 H bersamaan 758 M

Khalifah Abu Jaafar al-Mansour telah menziarahi al-Aqsa lalu memenuhi permintaan penduduk Baitul Maqdis untuk memulihkan al-Aqsa selepas berlakunya gempa bumi. Beliau memerintahkan untuk menanggalkan plat emas yang disadurkan di pintu-pintu masjid, kerana ingin menukarkannya kepada dinar untuk dibelanjakan bagi kerja-kerja pemulihan dan ia telah berakhir pada 154 H bersamaan 771 M.

158 H bersamaan 775 M

Satu lagi gempa bumi telah melanda di Palestin sehingga menghancurkan binaan yang telah dibaikpulih semasa zaman pemerintahan al-Mansour. Apabila al-Mahdi menziarahi Baitul Maqdis pada 163 H bersamaan 780 M, beliau telah mengarahkan agar kerja pemulihan semula dilakukan di Masjid al-Aqsa.

Zaman Fatimiyah

426 H bersamaan 1035 M

Masjid al-Aqsa telah dilanda gempa bumi sehingga mengakibatkan kemusnahan besar di Masjid al-Qibli. Kerja-kerja pembinaan semula telah dilakukan oleh Khalifah Fatimiyah az-Zahir dengan tujuan untuk mengagungkan agama Allah SWT. Binaannya telah dikurangkan kepada 7 buah ruwaq (lorong) sahaja dan reka bentuknya sama seperti sekarang.

Zaman Penjajahan Tentera Salib

492 H bersamaan 1099 M

 Tentera Salib menawan Baitul Maqdis dengan melakukan pembunuhan secara besar-besaran di Masjid al-Aqsa. Mereka juga telah menawannya untuk dijadikan sebagai “Kesatria Templar” serta  menukar mercu-mercu tanda al-Aqsa dan mencabul kesuciannya selama 88 tahun. Berikut merupakan perkara yang telah mereka lakukan selain melarang daripada menunaikan solat di dalamnya. Antaranya ialah:

 – Menjadikan Masjid al-Qibli sebagai markas tentera berkuda dan menggunakannya sebagai pejabat, gudang dan tempat kediaman untuk mereka.

 – Menjadikan Kubah as-Sakharh sebagai gereja, lalu menamakannya sebagai “Templum Domini” (Rumah Tuhan).

 – Menjadikan penempatan di tenggara al-Aqsa (kini dikenali sebagai Ruang Solat al-Marwani) sebagai kandang kuda dan menukarkan namanya kepada ‘Kandang Kuda Sulaiman’.

 – Mengubah Kubah as-Silsilah kepada gereja dan menjadikan ruwaq barat (lorong) sebagai gudang.

Ini adalah salah satu tempoh yang paling sukar dalam sejarah Masjid al-Aqsa.

 Zaman al-Ayyubi

 583 H bersamaan 1187 M

Selepas Panglima Salahuddin al-Ayyubi telah berjaya membebaskan Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa, beliau telah memindahkan mimbar yang cantik binaannya yang mana telah dibina oleh Syeikh Nuruddin Zanki dari bandar Aleppo. Mimbar tersebut kemudiannya dikenali sebagai “Mimbar Salahuddin”. Ia pernah dibakar oleh golongan pelampau Zionis pada tahun 1969 M. Selepas pembebasan itu juga, Panglima Salahuddin al-Ayyubi telah melancarkan gerakan untuk menghapuskan kesan-kesan peninggalan Tentera Salib di al-Aqsa. Beliau telah melakukan beberapa pembaharuan dan penambahan fungsi pada Masjid al-Qibli, mihrabnya, ruwaq serta saduran emas pada Kubah as-Sakhrah dan membaik pulih kubah tersebut.

614 H bersamaan 1217 M

Raja Agong, Sharifuddin Isa, sangat mengambil berat akan al-Aqsa. Beliau telah membina ruwaq di bahagian hadapan (mendatar) di Masjid al-Qibli. Selain itu, beliau juga telah menyediakan banyak kemudahan-kemudahan di Masjid al-Aqsa seperti tangki air Isa, Sabil Sya’lan, Kubah an-Nahwiyyah dan tempat wuduk yang berdekatan dengan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.

Zaman Mamluk

Masjid al-Aqsa telah menyaksikan kebangkitan semula dari segi gerakan ilmu dan seni binanya. Pada zaman ini juga, al-Aqsa sangat terkenal dengan nama “al-Haram as-Sharif” kerana kemuliaan kedudukannya. Para pemerintah pada masa ini sangat menumpukan perhatian terhadap pembangunan al-Aqsa dan mewakafkannya. Antara kerja-kerja yang telah mereka lakukan adalah seperti berikut:

709 -741H/1309 -1341M

Zaman Sultan Nasir Muhammad bin Qalawun telah menyaksikan gerakan kebangkitan ilmu dan seni bina pada binaan  ruwaq Masjid al-Aqsa. Selain itu, wujudnya banyak sekolah di Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan kawasan-kawasan sekitarnya serta didiami oleh hamba-hamba, orang-orang zuhud dan  para penuntut ilmu. Antara binaan penting lain yang terdapat di al-Aqsa adalah, Ribath al-Kard, sekolah ad-Duwidariyah, sekolah  al-Jawiliyah, sekolah al-Karimiyah, sekolah at-Tankaziah, sekolah al-Aminiyah dan sekolah-sekolah yang lain serta terdapat juga binaan kemudahan lain seperti, Sabil al-Ka’s dan Pintu Gerbang al-Qattanin.

Raja Ashraf Barsbay juga telah mewakafkan dua buah kampung di Lembah Jordan untuk kerja membaik pulih dan memelihara Kubah as-Sakhrah.

Begitu juga Raja Ashraf  Enal yang telah meletakkan mushaf al-Quran al-Karim di Masjid al-Qibli di al-Aqsa dan menyusunnya untuk kegunaan para pembaca.

Adapun Raja Ashraf Qaitbai yang telah meninggal pada tahun 901 H bersamaan 1496 M, beliau telah dikatakan sebagai salah seorang pemerintah terpenting dari (negara beraja) negera Mamluk. Beliau telah memperbaharui binaan ‘Sabil Qaitbai’ di halaman barat Masjid al-Aqsa al-Mubarak, dan sekolah al-Asyrafiyah, yang mana dianggap sebagai “Permata Ketiga” di Masjid al-Aqsa al-Mubarak oleh para sejarawan.

Zaman Uthmaniyyah

922 H bersamaan 1516 M

Kerajaan Uthmaniyyah telah masuk ke Baitul Maqdis pada tahun 1516 M. Sultan Uthmaniyyah, iaitu Selim І telah datang ke sana lalu disambut oleh para ulama’ dan para pembesar bandar tersebut. Mereka telah menyerahkan kepada beliau kunci-kunci Masjid al-Aqsa dan Kubah as-Sakhrah. Beliau kemudiannya mengunjungi masjid  tersebut dan menunaikan solat di dalamnya dan juga di Kubah as-Sakhrah. Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana telah  menjadikannya sebagai pelindung kiblat pertama umat Islam.

1550 M-1561 M

Sultan Sulaiman al-Qanuni mengambil berat akan Masjid al-Aqsa dan seni binaannya. Beliau  telah menggantikan mozek yang dibina pada zaman Umayyah yang mana dilekatkan pada Kubah as-Sakhrah dengan jubin Qashani yang cantik berwarna biru. Selain itu, beliau telah menggunakan batu marmar yang berkualiti dan memperbaharui  tingkap-tingkap, pintu-pintu serta jubin Kubah as-Sakhrah. Beliau juga turut membawa perabot-perabot dan hamparan-hamparan permaidani sekaligus memperbaharui Kubah as-Sakhrah. Di samping itu, beliau juga telah membina beberapa buah sabil di kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa seperti seperti Sabil Sulaiman. Beliau menjaganya dengan memasang lantai jubin dan membina tembok– tembok masjid tersebut yang mana merupakan sebahagian daripada kempennya untuk membina tembok di Kota Baitul Maqdis.

Pada zaman Uthmaniyyah juga, beberapa buah tempat yang dinamakan sebagai al-Khalawi telah dibina (merupakan tempat yang digunakan untuk beruzlah, beribadah dan menuntut ilmu). Kebanyakannya terletak di sekitar Kubah as-Sakhrah al-Mushrifah, dan mereka juga telah membina beberapa buah kubah seperti Kubah al-Khidr, Kubah al-Arwah, Kubah an-Nabi dan memperbaharui menara azan pintu gerbang al-Asbat yang berbentuk silinder itu.

Sultan Uthmaniyyah juga telah memberikan tumpuan utama dalam memulihkan Kubah as-Sakhrah dengan membawa bahan-bahan binaannya dari Istanbul dan Izmir.

1876 M-1909 M

Semasa pemerintahan Sultan Uthmaniyyah Abdul Hamid II, sebuah pertandingan kaligrafi Arab telah diadakan di peringkat dunia Islam. Pemenang bagi pertandingan tersebut telah ditugaskan untuk mengukir surah Yasin pada dinding luar Kubah as-Sakhrah dengan mengikut seni dekoratif Qashani yang dibina pada zaman Uthmaniyyah, dan hasil karya agung tersebut  masih kekal sehingga ke hari ini.

Related Articles