Masjid-masjid dan ruang solat Al-Aqsa

by admin
5354 views

Seperti yang diketahui, setiap sudut dan kawasan di dalam Masjid al-Aqsa adalah merupakan sebahagian daripadanya. Kesemua kawasan tersebut mengandungi hukum dan kelebihan yang sama dari segi ganjaran pahalanya atau kesuciannya. Masjid al-Aqsa terdiri daripada beberapa ruang solat dan masjid yang berbumbung. Sebahagiannya telah dibina sejak zaman pemerintahan awal Islam lagi manakala sebahagian yang lain baru sahaja dibina atas faktor kerja-kerja pembaikpulihan Masjid al-Aqsa serta untuk memastikan keluasan kawasan solat bersesuaian dengan bilangan ahli jemaah. Secara ringkasnya, kesemua ruang solat tersebut terdiri daripada tiga aras ketinggian, iaitu permukaan  di atas tanah rata, aras bawah tanah, dan permukaan tanah yang lebih tinggi dari masthabah (seperti Masjid Kubah as-Sakhrah). Perbezaan setiap aras ini terjadi disebabkan oleh keadaan bentuk muka bumi yang semula jadi di kawasan Masjid al-Aqsa. Pada asalnya, kawasan tersebut adalah berbukit lalu diratakan permukaannya  untuk memudahkan proses pembinaan bangunan-bangunan.

Catatan:  Kini, sebahagian ruang tersebut tidak lagi digunakan sebagai tempat solat kerana terdapat perubahan pada fungsinya.

Berikut merupakan perincian mengenai enam buah tempat ruang solat. Turut diberikan juga penerangan mengenai masjid Kubah as-Sakhrah kerana terdapat sebahagian rujukan menamakannya sebagai ‘kubah’ dan sebahagian yang lain menamakannya sebagai ‘masjid.

al-Jami’ al-Qibli (Masjid al-Qibli)

Masjid al-Qibli merupakan ruang solat utama di dalam Masjid al-Aqsa yang terletak di bahagian selatan yang menghadap kiblat. Oleh kerana posisinya menghadap kiblat, maka dinamakan dengan al-Qibli. Terdapat dalam beberapa buah buku sejarah menamakannya sebagai Masjid al-Aqsa. Namun, ianya salah sama sekali. Hal ini kerana tentera penjajah Zionis sengaja ingin menyebarkan maklumat palsu tersebut untuk mengelirukan masyarakat dunia supaya menganggap bahawa serangan dan kerosakan yang dilakukan di luar Masjid al-Qibli bukanlah ditujukan kepada Masjid al-Aqsa. Maka ianya kelihatan seolah-olah  mereka tidak melakukan apa-apa kerosakan terhadap al-Aqsa. 

Individu yang pertama yang mula membina Masjid al-Qibli adalah Saidina Umar Al-Khattab R.A iaitu ketika sebaik sahaja beliau berjaya membuka kota Baitul Maqdis pada tahun 16 H bersamaan tahun 637 M. Pembinaan pada awalnya berasaskan kayu dan dahan-dahan pokok. Kemudian, diperbesarkan lagi sehingga mampu mencapai kapasiti 3000 jemaah (sumber : catatan daripada lawatan pengkaji Perancis pada kurun pertama Hijrah.) Seterusnya, Khalifah Abdul Malek bin Marwan juga telah membina semula bagi mengukuhkan lagi binaan masjid tersebut. Kerja-kerja penambahbaikan telah disempurnakan oleh anak beliau iaitu al-Walid bin Abdul Malek pada tahun 86-96 H bersamaan 705-714 M. Masjid ini mempunyai 15 buah ruwaq (lorong). Walau bagaimanapun, kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan telah dilaksanakan beberapa kali selepas musnah akibat daripada gempa bumi.

Semasa penjajahan tentera salib menguasai kota suci al-Quds, mereka telah membahagikan kawasan masjid kepada tiga bahagian, iaitu; gereja, tempat tinggal untuk pasukan berkuda, dan ibu pejabat operasi kepimpinan mereka. Akan tetapi, selepas Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Kota al-Quds, beliau telah mengembalikan semula kegemilangan fungsi Masjid al-Qibli sebagaimana sebelumnya serta proses penambahbaikan dan penambahan binaan juga telah diusahakan kembali seperti penambahan ruwaq al-Amami (seperti yang ada pada masa sekarang).

Namun, selepas Masjid al-Aqsa jatuh ke tangan rejim Zionis 1967 M,  Masjid al-Qibli telah berhadapan dengan beberapa kali serangan. Kejadian yang paling tragis adalah ketika berlakunya pembakaran masjid pada tarikh 21/8/1969 M sehingga memusnahkan mimbar Nuruddin Zanki. Mimbar tersebut telah diletakkan oleh Salahuddin al-Ayyubi sewaktu pemerintahannya. Selain itu, usaha merosakkannnya juga dilakukan dengan cubaan mengebom dan melancarkan peluru berpandu pada tahun 1980 M dan 1984 M serta usaha penggalian lubang-lubang yang menyebabkan masjid berada dalam keadaan terancam.

Kini, Masjid al-Qibli mempunyai tujuh buah ruwaq (lorong) yang meliputi keseluruhan kawasan masjid dari arah selatan ke utara. Di tengah-tengahnya pula terdapat ruwaq besar yang ketinggiannya sama dengan paras kubah yang diselaputi dengan timah. Manakala, di sisi kanan dan kirinya terdapat tiga buah ruwaq (lorong) lagi. Keluasan masjid ini adalah 80 m x 55 m, bersamaan 4000 meter persegi, dan terdapat 11 buah pintu serta sebuah kubah yang mencapai ketinggian sehingga 17 m.

 al-Masjid al-Qadim (Masjid al-Qadim)

 Terletak di bawah bangunan Masjid al-Qibli yang merupakan laluan lama ke pintu berkembar Masjid al-Aqsa. Umat Islam telah memanfaatkannya dengan menjadikannya   sebagai ruang solat serta tempat untuk menghalang tindakan rejim Zionis daripada menawannya. Pada awalnya, masjid ini dibina sebagai sebahagian daripada penempatan di bahagian selatan Masjid al-Aqsa. Tujuan utamanya adalah sebagai laluan masuk dari istana-istana Umaiyyah ke Masjid al-Qibli melalui pintu berkembar. 

Masjid ini sudah berabad lamanya tidak digunakan dan ditutup bagi memelihara kota tersebut daripada ancaman tentera salib pada zaman Salahuddin. Keadaannya tidak terurus dan dipenuhi dengan debu dan batu-bata. Kemudian, dibuka kembali lalu dipulihkan sebagai tempat beribadah pada tahun 1420 H bersamaan 1999 M di bawah pengurusan Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci.

al-Musolla al-Marwani (Ruang Solat al-Marwani)

Ruang solat al-Marwani adalah sebuah bangunan besar yang terletak di bahagian tenggara Masjid al-Aqsa, dengan keluasan 3,600 meter persegi. Tujuan pembinaannya pada zaman Umaiyyah adalah untuk menyamaratakan halaman sisi semua ruang Masjid al-Aqsa. Oleh sebab itu, ruang solat ini berada pada paras lebih rendah dari Masjid al-Qibli. Semasa zaman penaklukan tentera salib di Kota al-Quds, mereka telah menukarkan ruang solat ini menjadi kandang kuda dan menamakannya dengan “Kandang Sulaiman”. Keadaan ini kekal sehinggalah pembebasan Kota al-Quds di tangan Salahuddin al-Ayyubi.

Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci telah memutuskan untuk membangunkannya kembali sebagai ruang solat al-Marwani kepada para jemaah pada tahun 1418 H bersamaan tahun 1997 M. Hal ini juga  bertujuan untuk melindungi ruang tersebut daripada perancangan Zionis yang menginginkan kaum Yahudi bersembahyang di situ sehingga mereka mampu menawannya.

Ruang solat al-Marwani terdiri daripada 16 buah ruwaq (lorong) yang meliputi dari bahagian selatan ke utara. Ia dianggap antara tempat berbumbung yang terbesar untuk mendirikan solat di dalam kawasan Masjid al-Aqsa. Keluasannya telah mencapai 4000 meter persegi. Kini, ia boleh dimasuki melalui laluan dari arah utara. 

Masjid al-Buraq (Masjid al-Buraq)

 Nama “Buraq” ini diambil bersempena dengan peristiwa  Nabi Muhammad SAW meletakkan kenderaan buraq ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj. Masjid ini terletak di ruang bawah tanah al-Aqsa dan untuk  memasukinya perlulah menuruni anak tangga melalui pintu masuk di bahagian atas masjid. Ia dibuka ketika solat jumaat dan solat sunat Hari Raya. Selain itu, masjid  yang dapat dilihat pada hari ini adalah hasil usaha daripada kerajaan Mamluk yang telah membinanya semula dalam sekitar tahun 707-737 H. Pintu utamanya terletak pada tembok Buraq yang sekarang ini telah pun ditutup. Walau bagaimanapun, masjid tersebut masih dibuka untuk para jemaah menunaikan solat sehingga ke hari ini.

 Masjid al-Magharibah (Masjid al-Magharibah)

 Masjid ini dibina oleh Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 590 H bersamaan tahun 1193 M. Ia terletak di bahagian barat daya Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan berhampiran dengan Pintu Gerbang al-Magharibah. Masjid ini adalah masjid lama yang digunakan sebagai ruang solat pengikut Mazhab Maliki. Hari ini kawasan tersebut digunakan sebagai Muzium Islam.

Jami’ an-Nisa’ (Masjid an-Nisa’)

Merupakan bangunan besar di sebelah barat Masjid al-Qibli dan terbentang sehingga ke tembok barat Masjid al-Aqsa. Ia mula dibina pada zaman al-Ayyubi dan dikhususkan untuk ruang solat bagi kaum wanita. Kini, Masjid an-Nisa’ dibahagikan kepada dua bahagian iaitu; bahagian untuk muzium dan perpustakaan awam. Pada zaman tentera salib, tempat ini telah digunakan sebagai ruang tempat makan bagi tentera berkuda.

Walau bagaimanapun, dalam beberapa dekad yang lalu, masjid ini telah dibahagikan  kepada tiga bahagian dengan tiga fungsi yang berbeza. Di bahagian barat daya telah dijadikan dewan, bahagian selatannya pula sebagai muzium Islam dan bahagian tengah pula berfungsi sebagai pusat pengajian dakwah dan usuluddin. Selain itu, bahagian tengah ini juga berperanan sebagai perpustakaan utama Masjid al-Aqsa.

Masjid Kubah as-Sakhrah (Masjid Kubah as-Sakhrah)

Terdiri daripada ruang-ruang solat dan kubah-kubah. Perkara ini akan diterangkan dalam tajuk Kubah al-Aqsa.

Related Articles