Ruwaq Al-Aqsa

by admin
1216 views

Ruwaq merupakan laluan berbumbung yang terletak di antara dua barisan tiang. Banyak kajian menunjukkan bahawa al-Aqsa mempunyai tiga buah ruwaq iaitu di sebelah timur, utara dan barat. Namun kini, al-Aqsa hanya memiliki dua buah ruwaq sahaja iaitu di laluan barat dan laluan utara.

Fungsinya adalah sebagai laluan berbumbung, tempat berteduh serta memudahkan pergerakan para jemaah untuk ke pintu-pintu masjid al-Aqsa.

  Ar-Ruwaq al-Gharbiy (Lorong Barat)

Laluan berbumbung ini terdiri daripada 55 buah tiang di sepanjang laluan di bahagian barat Masjid al-Aqsa. Pembinaannya dilakukan secara berperingkat pada zaman Mamluk antara tahun 737-707 H bersamaan 1336-1307 M. Ruwaq ini bertujuan untuk memudahkan pejalan kaki ke tempat-tempat yang terdapat di kawasan barat masjid. Ia juga terdiri daripada tiang-tiang yang berbatu-bata dan di atasnya terdapat lengkungan-lengkungan yang bersilangan. Lantainya diperbuat daripada kepingan batu dan kedudukannya lebih tinggi sedikit daripada paras halaman Masjid al-Aqsa. Dahulunya, ruwaq ini dijadikan sebagai sebuah pusat ilmiah.

Ar-Ruwaq as-Syamaliy (Lorong Utara)

Merupakan laluan berbumbung di sepanjang jalan di bahagian utara Masjid al-Aqsa. Pembinaannya dilakukan secara berperingkat  pada dua zaman iaitu zaman al-Ayyubi dan Mamluk di antara tahun 610-769 H bersamaan 1213-1367 M. Tujuannya adalah untuk memudahkan pejalan kaki ke tempat-tempat yang terdapat di kawasan utara masjid. Ruwaq ini pernah ditutup pada zaman Uthmaniyyah tetapi kini sudah dibuka seperti biasa.

Related Articles