Sabil Al-Aqsa

by admin
4455 views

Sabil merupakan salah satu bekalan air yang terdapat di dalam Masjid al-Aqsa. Ia berfungsi sebagai tempat untuk mendapatkan air minuman serta mengambil wuduk. Terdapat kira-kira 14 buah sabil di dalam al-Aqsa dan ini membuktikan bahawa umat Islam sangat menitikberatkan keperluan bekalan air untuk memudahkan para jemaah yang ingin menunaikan solat serta para pelajar yang berada di dalam kawasan masjid. Melalui kajian yang dilakukan, kesemua sabil ini telah dibina sepanjang tempoh zaman pemerintahan al-Ayyubi, Mamluk dan Uthmaniyyah.

Sabil al-Ka’s

Merupakan sabil yang paling dikenali di al-Aqsa. Terletak di bahagian selatan perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu di antara masthabah tempat wuduk dan masthabah al-Ka’s. Pembinaannya telah dilakukan oleh Sultan al-Ayyubi Abu Bakar bin Ayub, iaitu salah seorang raja al-Ayyubi pada tahun 589 H bersamaan 1193 M.

Sabil Sya’lan

Terletak di bahagian barat perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu di sebelah platform Kubah as-Sakhrah. Di sebelahnya terdapat masthabah sabil Sya’lan. Pembinaannya telah dilakukan oleh Raja al-Ayyubi al-Mu’zam Isa pada tahun 613 H bersamaan 1216 M.

Sabil al-Basiri 

Terletak di bahagian barat perkarangan Masjid Al-Aqsa dan di timur laut Pintu Gerbang an-Nazir. Namanya juga dikenali sebagai Sabil al-Habs. Pembinaannya telah dilakukan pada zaman pemerintahan Mamluk Barsbay pada tahun 839 H bersamaan 1436 M.

Sabil Qaitabai 

Terletak di bahagian barat perkarangan Masjid al-Aqsa. Binaannya yang tinggi dan cantik serta memiliki unsur seni ukiran binaan dan dekorasi yang memukau. Sultan Mamluk Qaitabai telah membinanya pada tahun 865 H bersamaan 1461 M, dan pernah diubahsuai pada zaman Uthmaniyyah pada tahun 1330 H bersamaan 1882 M.

Sabil Qassim Pasha 

Terletak di barat perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu berhadapan dengan Sekolah al-Asyrafiyyah. Dikenali juga sebagai sabil Bab al-Mahkamah kerana kedudukannya yang berhampiran dengan bangunan sekolah at-Tankaziyyah. Gabenor al-Quds iaitu Qassim Pasha telah membinanya pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah Sulaiman al-Qanuni pada tahun 933 H bersamaan 1527 M.

Sabil Sulaiman

Terletak di bahagian utara perkarangan Masjid al-Aqsa. Sultan Uthmaniyyah Sulaiman al-Qanuni telah membinanya pada tahun 943 H bersamaan 1536 M.

Sabil Syeikh Badir

Terletak di bahagian barat laut perkarangan Masjid al-Aqsa dan bertentangan Pintu Gerbang an-Nazir. Di sebelahnya terdapat masthabah Syeikh Badir dan nama sabil ini dinamakan bersempena dengan nama beliau. Pembinaannya dilakukan pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah Mahmud al-Awwal pada tahun 1153 H bersamaan 1740 M.

Sabil Bab al-Magharibah

Terletak di bahagian selatan perkarangan Masjid al-Aqsa, iaitu di bahagian timur Masjid al-Buraq. Kedudukannya di antara masthabah Masjid al-Buraq dan masthabah Masjid az-Zawiyyah al-Fakhriyyah serta berhadapan dengan Pintu Gerbang al-Magharibah. Ia telah dibina pada zaman Uthmaniyyah. Kini, ia tidak digunakan lagi sebagai bekalan air kepada penduduk tetapi digunakan untuk mengairi tanaman pokok-pokok.

Sabil Hittah 

Terletak di sebelah kanan luar Pintu Gerbang Hittah iaitu di bahagian utara masthabah Pintu Gerbang Hittah. Dibina pada zaman Uthmaniyyah. Baru-baru ini, sabil ini pernah dibaikpulih oleh Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Kota Suci. Akan tetapi ianya telah dihapuskan selepas itu.

Birkah an-Narinj 

Terletak di barat perkarangan Masjid al-Aqsa dan kedudukannya di antara sabil Qassim Pasha dan sabil Qaitabai. Ia dibina pada zaman pemerintahan Sultan Mamluk Qaitabai pada tahun 887H bersamaan 1483M. Kerja-kerja pemulihan telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan Tempat-Tempat Suci.

Sihrij al-Malik Isa 

Terletak di sebelah barat perkarangan Masjid al-Aqsa iaitu di bawah masthabah Kubah as-Sakhrah. Bangunan yang terdiri daripada tiga buah ruwaq (lorong) ini dibina oleh Sultan al-Ayyubi Isa pada tahun 607 H bersamaan 1210 M. Oleh kerana itu, bangunan ini dinamakan bersempena nama beliau. Digunakan untuk mengumpul air hujan yang turun di atas Kubah as-Sakhra melalui saluran yang mengalir ke tangki. Ada beberapa penambahan binaan yang telah dilakukan ketika zaman Uthmaniyyah. Bangunan ini telah ditambah dan ditinggikan sehingga dapat dilihat dari halaman Kubah as-Sakhrah. Hari ini ia telah dijadikan sebagai klinik perubatan.

Sabil Mimbar Burhanuddin 

Ianya baru dibina oleh Jawatankuasa Pembangunan Tempat-tempat Suci pada hujung tahun 1418 H bersamaan 1998 M. Di dalamnya terdapat 24 buah kepala paip.

Sabil Zaitunah 

Terletak di selatan Masjid al-Aqsa dan berada di barat laut sabil al-Ka’s. Dibina oleh Jawatankuasa Peninggalan Islam dan dinamakan sabil ini bersempena dengan pokok zaitun yang ditanam di sekeliling tujuh buah kepala paip.

Sabil ar-Rahmah

Terletak di sebelah barat pintu gerbang at-Taubah dan ar-Rahmah. Dibina pada tahun 1416 H bersamaan 1995 M serta mempunyai 12 buah kepala paip.

Related Articles