Khowis: Masjid al-Aqsa adalah semangat kami, dan kami akan berkorban jiwa dan raga untuknya

by admin
3417 views

Khowis: “Ribat” demi memelihara Masjid al-Aqsa

Khadija Ahmed Khowis, salah seorang “murabitat” yang terkenal di Masjid al-Aqsa. Beliau tekad untuk menyerahkan hidupnya untuk masjid tersebut. Bagi beliau, tiada yang lebih utama dari Masjid Al-Aqsa, bukan dirinya sendiri mahupun keluarganya.

Beliau menganggap “Ribat” sebagai tugas yang mulia, beliau percaya bahawa berkorban jiwa untuk Masjid Al-Aqsa adalah suatu kemuliaan yang tinggi di dunia dan akhirat, dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa seharusnya menjadi sebuah doktrin. Apabila beliau berada di halaman masjid, masanya dihabiskan dengan mengajar dan mempertahankan masjid daripada pencerobohan tentera Israel. Ketika beliau dihalau dari masjid secara paksa, beliau berdiri di pagar masjid untuk menentang tentera sambil melaungkan “Allahu Akbar” bersama-sama dengan murabitah-murabitah lain. Sebuah laungan yang lebih hebat dari tembakan peluru dan bom.

Perjalanan hidup bersama Al-Quran di al-Aqsa …

Khadija Khowis, dilahirkan pada 27/8/1977, berkahwin dengan Dr. Ibrahim Abu Ghalia. Beliau dikurniakan lima orang anak dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam daripada Universiti Al-Quds, dan bakal menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Tafsir daripada Universiti Hebron. Beliau mempunyai kelulusan ijazah Al-Quran bersanad. Beliau juga seorang guru Pengajian Islam di Sekolah al-Nizamiya di al-Quds. Di perkarangan Masjid al-Aqsa, beliau mengajar al-Quran dan Tafsir.

Perjalanan hidup beliau bersama Masjid al-Aqsa bermula sejak kecil, di mana beliau mendapat pendidikan di sekolah-sekolah di Masjid al-Aqsa, dan kemudian menyambung pendidikan beliau di Maktab Shariah al-Aqsa, di dalam masjid tersebut. Pada tahun 2014, beliau menjadi guru al-Quran dan Tafsir di sana.

Dihalau dari Masjid al-Aqsa …

Peranan besar yang dimainkan oleh Khadija di Masjid al-Aqsa dan komuniti al-Maqdisi (penduduk Al-Quds) telah menarik perhatian pihak berkuasa pendudukan Israel. Sejak tahun itu, bermulalah siri pemulauan dan pengusiran di sana. Khadija telah dihalau dari Masjid al-Aqsa lebih daripada 10 kali, dengan jumlah hampir 500 hari dalam masa dua tahun. Di samping larangan rasmi terhadapnya, nama beliau juga termasuk dalam senarai “Senarai Emas”, senarai nama yang dilarang untuk memasuki Masjid al-Aqsa pada setiap masa.

“Saya pernah dihalau dari Kota Lama (juga dikenali sebagai al-Quds Timur) selama lapan bulan, diusir dari al-Quds Barat selama dua bulan, dan dari Tebing Barat selama enam bulan. Saya dihalang keluar dari kawasan ini lebih dari enam kali setahun dan tidak boleh melebihi tiga bulan. Saya pernah ditahan sebanyak 10 kali dan saya pernah tidur di dalam penjara sebanyak empat kali. Setiap kali ditangkap, saya ditahan selama satu malam kecuali kali terakhir, saya dipenjara selama dua minggu di sebalik tirai besi,” Khadija meluahkan.

“Cabaran terbesar yang saya rasakan pernah dialami adalah tekanan dan paksaan ketika disoal siasat, terutama ketika tahanan baru-baru ini. Saya diaibkan, diperiksa tanpa pakaian, dan ahli keluarga saya ditahan termasuk ibu, ayah, anak perempuan, dan suami saya. Namun, pengusiran dari Masjid al-Aqsa adalah paling sukar buat saya. Ia cabaran yang paling sukar dihadapi oleh seorang pencinta Al-Aqsa,” kata Khadija.

Walau bagaimanapun, polisi Israel ini tidak pernah memaksa Khadija atau menghalang beliau dari meneruskan perjuangannya. Beliau menganggap bahawa berkorban untuk Masjid al-Aqsa amat tinggi nilainya samada secara spiritual, anak-anak, dan harta. Khadija menambah, beliau tetap menunaikan tanggungjawabnya terhadap suami, anak-anak dan pelajar beliau tanpa sedikitpun meninggalkan tanggungjawab terhadap Masjid al-Aqsa samada dari segi pendidikan dan tunjuk ajar, mahupun memaksa keluar musuh-musuh dari halaman Masjid al-Aqsa. Beliau juga menekankan, pengusiran beliau dari Masjid al-Aqsa mampu meningkatkan kesedaran dan mengumpulkan lebih ramai orang untuk bersamanya mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Al-Aqsa adalah keutamaan setiap Muslim…

Khowis telah menyampaikan mesej beliau kepada umat Islam yang berbunyi,

“Masjid al-Aqsa bukan sebuah masjid untuk penduduk Al-Quds dan Palestin sahaja, tetapi adalah masjid untuk seluruh umat Islam. Masjid tersebut adalah kiblat pertama, dan tempat berlakunya Isra’ Rasulullah S.A.W. Masjid al-Aqsa adalah tempat suci ketiga di dunia selepas Makkah dan Madinah. Masjid al-Aqsa adalah tumpuan penentangan dan kesucian penduduknya.

Oleh itu, tugas mempertahankan kebebasan Masjid al-Aqsa merupakan tugas setiap di antara kita, bukan saja dengan “ribat” di dalamnya, tetapi juga “ribat” untuknya; dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat dunia tentang sejarah dan geografi tempat ini, juga kondisi dan berita-berita mengenai Masjid al-Aqsa. Kerana mana mungkin kita mampu membebaskan Masjid al-Aqsa tanpa mengetahui sejarahnya! Karakter dan geografinya! Rahmat Allah di dalamnya! Dan situasi kritikal yang sedang dihadapinya!

Kita memerlukan sebuah revolusi moral yang menyeluruh. Kita perlu berpegang dengan akhlak al-Quran untuk menjadi Rabbaniyun, Quraniyun dan pejuang Al-Aqsa. Kita perlu ikhlas dalam setiap kata-kata dan usaha kita untuk Al-Aqsa, dan mengubah niat di dalam hati kita, supaya Allah akan mengubah dan memperbaiki situasi kami di sini. Kita perlu menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai prioriti di setiap rumah, sekolah, kejiranan, perjumpaan, dan persatuan. Apa pun, sebelum itu, kita perlu jadikan Masjid al-Aqsa sebagai prioriti di dalam hati kita terlebih dahulu.”

Beliau  menambah, “setiap Muslim wajib menyumbang terhadap aktiviti-aktiviti dan inisiatif yang menyokong dan mempertahankan Masjid al-Aqsa, kita mesti memberi sokongan material dan moral kepada Kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Sokongan ini sangat penting untuk memperhebat usaha rakyat Palestin.”

Related Articles