Baikah Al-Aqsa

by admin
4746 views

Baikah merupakan antara monumen seni bina yang istimewa yang terletak di kawasan halaman Masjid al-Aqsa. Ia merupakan binaan yang terdiri daripada tiang-tiang yang disusun dalam satu garisan lurus dan di atasnya terdapat lengkungan yang bersambung antara satu sama lain serta mempunyai bumbung. Untuk pergi ke Kubah as-Sakhrah, seseorang itu perlulah menaiki anak tangga dan kemudiannya, melalui di bawah baikah ini yang mana boleh didapati di setiap penjuru.

Al-Baikah as-Syamaliyyah (Baikah Utara)

Mula dibina pada zaman Mamluk iaitu pada era Sultan al-Ashraf Sha’ban pada tahun 721 H bersamaan 1321 M. Ketinggiannya mencapai sehingga 7.5 m dan terletak di sebelah utara Kubah as-Sakhrah. Kedudukannya adalah sebaris dengan Pintu Gerbang ‘Atam dan Kubah as-Sakhrah dan ia berada di tengah-tengah antara kedua-duanya.

Al-Baikah as-Syamaliyyah al-Gharbiyyah (Baikah Barat Laut)

Mula dibina pada zaman Mamluk iaitu pada tahun 778 H bersamaan 1376 M. Kerja-kerja pengubahsuaiannya telah dilakukan pada zaman Uthmaniyyah. Ketinggiannya mencapai sehingga 7 m. Ia terletak di sebelah barat laut Kubah as-Sakhrah dan berada di tengah-tengah antara Pintu Gerbang al-Habs dan Pintu Gerbang al-Hadid.

Al-Baikah al-Gharbiyyah (Baikah Barat)

Mula dibina pada zaman Umaiyyah dan kerja-kerja penambahbaikannya telah dilakukan pada tahun 340 H bersamaan 951 M. Terletak di sebelah barat  Kubah as-Sakhrah dan kedudukannya sangat hampir dengan bangunan Masjid Kubah as-Sakhrah. Selain itu, kedudukannya juga bertentangan dengan Pintu Gerbang Mathharah, Sabil Qaitbay dan pintu masuk sebelah barat Kubah as-Sakhrah.

Al-Baikah al-Janubiyyah al-Gharbiyyah (Baikah Barat Daya)

Baikah ini dibina pada zaman Mamluk di bawah pemerintahan Sultan al-Ashraf Qaitabai pada tahun 877 H bersamaan 1472 M. Ketinggiannya adalah sehingga 7 m. Ia terletak di sebelah barat daya Kubah as-Sakhrah dan bercantum dengan Kubah an-Nahwiyah di bahagian selatan. Kedudukannya menghadap ke arah Pintu Gerbang as-Silsilah.

Al-Baikah al-Janubiyyah (Baikah Selatan)

Mula dibina pada zaman Umaiyyah dan telah diubahsuai semula pada zaman Abbasiyah, Fatimiyyah dan Uthmaniyyah. Kerja-kerja pembaikpulihan semula berlaku pada tahun 1402 H bersamaan 1982 M. Ketinggiannya adalah 6.5 m. Ia terletak di sebelah selatan Kubah as-Sakhrah dan sebaris dengan Masjid al-Qibli, Sabil al-Ka’s dan Kubah as-Sakhrah. Manakala di sebelah baratnya bercantum dengan Mimbar Burhanuddin yang juga dikenali sebagai Kubah al-Mizan.

Al-Baikah al-Janubiyyah as-Syarqiyyah (Baikah Tenggara)

Baikah ini telah dibina oleh Raja Laithu ad-Dawla Onoshchin Ghouri pada era Fatimiyyah iaitu pada tahun 412 H bersamaan 1021 M. Kerja-kerja pengubahsuaiannya telah disempurnakan pada zaman al-Ayyubi iaitu pada tahun 608 H bersamaan 1211 M. Ketinggiannya mencapai antara 6.5 m hingga 7 m. Terletak di sebelah tenggara Kubah as-Sakhrah dan berada sebaris dengan kedudukan Kubah as-Silsilah. Selain itu, dinamakan juga baikah ini dengan nama Makam al-Ghouri bersempena dengan nama pengasasnya, Raja Onoshchin Ghouri.

Al-Baikah as-Syarqiyyah (Baikah Timur)

 Mula dibina pada zaman Umaiyyah dan pernah dibina semula pada zaman Abbasiyah. Ketinggiannya adalah 6.5 m.  Ia merupakan antara binaan yang paling besar antara baikah-baikah yang lain. Terletak di sebelah timur  kubah as-Sakhrah dan merupakan satu-satunya baikah di kawasan ini. Umat Islam yang ingin menunaikan solat di sini akan melalui laluan bermozek yang menghubungkan ke Pintu Gerbang al-Asbat. Selain itu, kedudukannya berdekatan dengan Kubah as-Silsilah.  Ia dikenali  juga dengan nama “Tangga al-Buraq” dan oleh sebab itu, ia dipercayai oleh sesetengah pihak bahawa ianya telah wujud sejak zaman Umaiyyah lagi. Ada juga yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah melalui tempat ini untuk menuju ke Kubah as-Sakhrah pada malam Isra’.  Walau bagaimanapun, tiada bukti yang menunjukkan kesahihannya.

Al-Baikah as-Syamaliyyah as-Syarqiyyah (Baikah Timur Laut)

Pintu in dibina pada zaman pemerintahan Sultan an-Nasir Muhammad bin Qalawun. Maka, ini menunjukkan ia telah wujud sejak zaman Mamluk lagi. Ketinggiannya adalah mencapai 7 m dan terletak di timur laut Kubah as-Sakhrah dan berada sebaris dengan Pintu Gerbang Hittah.

Related Articles