Menara-menara azan

by admin
5385 views

Menara azan adalah sebuah bangunan yang tinggi dan digunakan oleh muazzin bagi melaungkan azan untuk menyeru umat Islam untuk menunaikan solat. Seni binanya yang luar biasa telah dibina di Masjid al-Aqsa semasa zaman pemerintahan Mamluk. Nama menara-menara ini diberi berdasarkan nama pembinanya atau kedudukannya yang berhampiran dengan pintu-pintu gerbang masjid. Terdapat empat buah menara dan kesemuanya memiliki seni bina yang cantik. Kawasannya terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, di bahagian barat terdapat 3 buah menara manakala di bahagian utara hanya terdapat sebuah menara.

Pada masa kini, 2017 M, menara ini telah dijadikan sasaran bagi proses yahudisasi di mana gereja Israel telah bersetuju semasa pembacaan pertama untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menghalang laungan azan di Masjid al-Aqsa atau digelar Tanah Jajahan 1948 M.

Mi’zanah Bab Al-Magharibah (Menara Azan Pintu Gerbang Al-Magharibah)

Terletak di barat daya Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan telah dibina oleh al-Qadhi Syarafuddin Abdurrahman Ibnu ash-Shahib Fakhrudin al-Khalili. Dinamakan juga sebagai Menara al-Fakhriah. Pada era pemerintahan Mamluk iaitu pada 677 H bersamaan 1278 M, ia telah dibina dengan rekaan yang moden. Bahagian atas menara ini telah hancur musnah akibat gempa bumi yang melanda pada 1341 H bersamaan tahun 1922 M. Kemudian, proses pembaikpulihan telah dilakukan pada tahun yang sama. Ia merupakan menara azan yang paling kecil dengan ketinggian 23.5 m.

Mi’zanah Bab Al-Magharibah

Mi’zanah Bab As-Silsilah (Menara Azan Pintu Gerbang as-Silsilah)

Menara ini telah dibina di atas ruwaq (lorong) barat di Masjid al-Aqsa al-Mubarak dan kedudukannya sebaris dengan Pintu Gerbang as-Silsilah. Al-Amir Saifuddin Tankiz bin Abdullah an-Nashiri merupakan pembina bagi menara ini. Selain itu, dikenali juga dengan nama Menara Mahkamah. Hal ini kerana ia terletak bersebelahan dengan sekolah al-Tankaziyah yang telah diubah menjadi mahkamah semasa pemerintahan Uthmaniyyah. Pembinaannya dilakukan dengan reka bentuk moden semasa zaman pemerintahan Mamluk iaitu pada 730 H bersamaan 1329 M. Di samping itu, menara azan ini berbentuk segi empat dan di atasnya terdapat balkoni berbumbung yang disokong oleh tiang-tiang batu. Cara untuk naik ke atas menara ini adalah melalui sekolah al-Asyrafiah dengan menaiki 80 buah anak tangga. Menara ini pernah dibaiki pada tahun 1341 H bersamaan 1922 M disebabkan oleh kesan gempa bumi yang melanda pada tahun tersebut. Proses ubah suai telah dijalankan beberapa tahun yang lalu dan masih jelas kelihatan melalui batu-batunya yang berwarna putih. Ketinggiannya mencecah 35 m.

Mi’zanah Bab As-Silsilah

Mi’zanah Bab al-Ghawanimah (Menara Azan Pintu Gerbang al-Ghawanimah)

Nama al-Ghawanimah diambil daripada nama Pintu Gerbang al-Ghawanimah yang berada berhampiran dengannya. Dikenali juga dengan nama Menara Qalawun. Ia telah dibina pada zaman Mamluk iaitu pada  tahun 697 H bersamaan 1297 M dan pernah diubahsuai pada tahun 730 H  bersamaan 1329 M di mana sama tahun dengan pembinaan Menara Azan Pintu Gerbang as-Silsilah. Selain itu, menara ini juga pernah menjalani proses baik pulih beberapa tahun yang lalu. Ia merupakan menara masjid yang paling tinggi dan sangat halus seni hiasannya. Dibina dengan asas bentuk segi empat serta batang menara yang juga berbentuk segi empat. Di bahagian atasnya pula berbentuk oktagon (segi lapan) dan ketinggian menara ini mencecah sehingga  38.5 m. Untuk makluman, terowong barat yang digali oleh Zionis Israel telah mengancam binaan menara ini sehingga menyebabkan berlakunya beberapa keretakan dan ini menyebabkan berlakunya proses pembaikpulihan pada tahun 1422 H bersamaan 2001 M.

Mi’zanah Bab al-Ghawanimah

Mi’zanah Bab al-Asbat (Menara Azan Pintu Gerbang al-Asbat)

     Menara ini terletak berdekatan dengan Pintu Gerbang al-Asbat yang berada di sebelah tembok utara Masjid al-Aqsa. Ia dibina pada zaman Mamluk pada tahun 769 H bersamaan 1376 M oleh al-Amir Saifuddin. Pada tahun 1346 H bersamaan 1927 M, menara ini  pernah mengalami keretakan disebabkan gempa bumi lalu ianya dibina semula pada tahun yang sama dengan cara binaan yang berbeza daripada binaan yang asal. Menara ini merupakan satu-satunya menara azan berbentuk silinder di Masjid al-Aqsa. Proses pembaikpulihannya telah selesai beberapa tahun yang lalu dan ketinggiannya mencecah sehingga 28.5 m.

Mi’zanah Bab al-Asbat

 

Related Articles