Apakah yang ditunjukkan oleh mukjizat Israk dan Mikraj berkenaan Masjid al-Aqsa? Mengapakah Nabi SAW tidak diangkat ke langit terus dari Makkah?

by admin
1288 views

Al-Isra’ dan al-Mi’raj adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Muhammad SAW, dan tindakan Allah Azza wa Jalla tidak boleh dipersoalkan. Al-Isra’ bermula dari Makkah dan berakhir di Masjid al-Aqsa di Beit Al-Maqdis, suatu keajaiban yang dibuktikan dengan Sunnah (untuk maklumat lanjut berkenaan Israk dan Mikraj, klik di sini).

Kita dapat menduga beberapa aspek kebijaksanaan di sebalik mukjizat ini melalui ayat-ayat al-Quran dan al-Hadis yang membahaskan subjek ini, tetapi berkenaan Masjid al-Aqsa secara spesifiknya, kita dapat menyoroti perkara-perkara berikut:

1-    Perhimpunan Nabi-nabi di Masjid al-Aqsa dengan Nabi Muhammad SAW sebagai imam mereka menandakan dengan jelas kemuliaan status Masjid al-Aqsa dan peranan utamanya, Rasulullah diisrakkan kepadanya, Rasulullah dimikrajkan darinya, dan di dalamnya, adalah perhimpunan Nabi-nabi yang diketuai oleh Muhammad SAW.

2- Perhimpunan nabi-nabi, yang berasal dari era, tempat asal dan etnik yang berbeza, menandakan bahawa Masjid al-Aqsa dimiliki oleh semua umat Islam, sama ada sebelum ataupun selepas “Bi’tha” (Misi Kenabian). Tanda ini sepatutnya mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk membebaskan al-Aqsa tidak hanya terletak pada bahu satu bangsa sahaja, tetapi merupakan tanggungjawab kesemua Muslim.

3- Perjalanan Israk Nabi SAW ke Masjid al-Aqsa (yang berada di bawah penguasaan Byzantin pada masa itu), merupakan tanda jelas kenabian berkenaan pembebasan Masjid al-Aqsa dan pemulangannya kepada umat Islam selepas ia diabaikan oleh pelbagai penjajah semasa zaman pemerintahan mereka.

4- Allah Maha Besar telah menyebutkan di permulaan Surah al-Isra suatu ayat yang menandakan peristiwa ini, kemudian ayat ini disusuli dengan ayat yang menceritakan kejahatan bangsa Israel, dan hukuman yang ditetapkan Allah kepada mereka disebabkan kejahatan mereka.

Susunan ayat-ayat ini menunjukkan bahawa Bani Israil yang pernah diutuskan ramai rasul kepada mereka dari sekitar Masjid al-Aqsa tidak lagi layak untuk menyampaikan mesej Allah kepada umatnya, dan oleh itu, kemuliaan mereka telah ditarik balik, dan seorang Nabi baru, Muhammad SAW, akan mewarisi mesej kenabian tersebut. Sementara penaklukan ketenteraan ke atas Beit al-Maqdis tidak mungkin berlaku pada masa tersebut, Allah telah membuka jalan kepada Nabi-Nya SAW ke masjid tersebut secara spiritual, melalui Israk dan Mikraj.

Inilah kesimpulan yang diilhamkan Allah berkenaan tanda-tanda berkaitan Masjid Al-Aqsa. Masih banyak lagi rahsia-rahsia yang dapat dicari melalui renungan yang mendalam dan kajian yang berterusan, dan Allah sentiasa Maha Tinggi dan Maha Mengetahui.

Related Articles