Perjalanan Israk Mikraj

by admin
5124 views

Oleh: Dr. Sharif Abu Shammalah
CEO of al-Quds Foundation Malaysia

Al-Israk wa al-Mikraj merupakan peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW. serta sejarah penyebaran Islam. Perjalanan ini berlaku pada 27hb Rejab setahun sebelum penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah. Kejadian ini merupakan antara mukjizat agung Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Israk merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di al-Quds. Sepanjang pejalanan ini, Rasulullah SAW menunggang Buraq, iaitu sejenis haiwan yang mampu menyingkatkan waktu perjalanan antara kedua-dua masjid, dan diiringi oleh Malaikat Jibril. Manakala Mikraj pula merujuk kepada perjalanan selepas Israk, yakni tatkala Nabi diangkat ke langit bersama Malaikat Jibril sehingga ke ‘Sidratul Muntaha’.

Perjalanan ini merupakan salah satu daripada keajaiban yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Perjalanan Israk dan Mikraj didahului oleh waktu kedukaan yang teramat sangat yang dialami oleh Rasulullah SAW Ketika itu, bapa saudara merangkap penjaga baginda, Abu Talib, telah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, wafat pula Khadijah binti Khuwailid, iaitu isteri Nabi dan insan yang paling dikasihi baginda. Sepeninggalan Abu Talib, golongan Quraisy lantas meningkatkan serangan mereka terhadap Rasulullah kerana bapa saudaranyalah yang telah memberi baginda perlindungan. Natijah daripada hal ini, Rasulullah SAW berusaha untuk mencari perlindungan di Taif, namun penduduk Taif menyambut baginda dengan lontaran batu-batu. Ini hanya menambahkan lagi duka baginda sehingga tahun tersebut digelar sebagai “Tahun Kesedihan”.  Maka, Allah SWT dengan kekuasaan-Nya memberi penawar kepada derita Rasulullah dengan peristiwa ajaib dan agung, iaitu Israk dan Mikraj, dan daripadanya azam dan kekuatan baginda untuk teguh mengharungi kesukaran dalam menyebarkan risalah Islam kembali meningkat.

Secara ringkasnya, sewaktu Rasulullah sedang lena di Hijr Ismail di Masjid al-Haram, Jibril telah mendatanginya dan mengejutkan baginda untuk membawanya ke Masjid al-Aqsa dengan menaiki Buraq, yang disifatkan oleh baginda sebagai “haiwan yang panjang dan putih, besar sedikit daripada keldai, tetapi kecil sedikit daripada keldai kacukan kuda, (dan) setiap langkahnya sejauh mata memandang. Aku menaikinya sehingga sampai ke al-Quds, Baitulmaqdis. Di sana, aku mengikatnya pada (tiang) yang sama digunakan oleh rasul-rasul (sebelumku).”

Di Masjid al-Aqsa, Rasulullah telah berjumpa dengan para rasul sebelumnya yang lain dan mengimami mereka dalam solat. Kemudian, Jibril membawanya sebekas arak dan sebekas susu, dan baginda memilih yang kedua. Jibril lantas berkata, “Engkau telah memilih fitrah, dan membimbing umatmu dan mengharamkan arak.”

Oleh yang demikian, dapat kita ketahui bahawa Masjid al-Aqsa telah menyaksikan salah satu peristiwa yang terpenting dalam sejarah risalah Islam, iaitu perintah kefarduan solat di samping berkumpulnya para rasul pada malam tersebut sebagai makmum Rasulullah SAW yang melambangkan bai’ah (sumpah) kepada Rasulullah SAW Selanjutnya, berlakunya Mikraj dari Masjid al-Aqsa ke langit ketujuh, di mana Rasulullah menerima firman yang memfardukan solat bagi orang-orang Islam. Perjalanan penuh Nabi SAW ketika peristiwa Mikraj juga penuh dengan keajaiban-keajaiban lain yang diperincikan dalam pelbagai hadis.

Perjalanan itu secara keseluruhan telah mengambil masa kurang daripada satu malam. Rasulullah telah pulang ke kamar pada malam yang sama dan pada paginya, baginda memberitakan kepada orang ramai tentang perkara yang telah berlaku. Walau bagaimanapun, khabar baginda ini telah membahagikan orang ramai kepada dua: mereka yang membenarkannya kalamnya dan mereka yang menolaknya.  

Dr. Mustafa Siba’ie telah berkata bahawa wujud rahsia yang pelbagai dalam perjalanan Israk dan Mikraj, dan sebahagian daripadanya berkait rapat dengan Masjid al-Aqsa. Beliau telah berkata, “Ia mengaitkan isu al-Aqsa dan apa yang berada di sekitarnya [Palestin] dengan dunia Islam. Palestin telah menjadi, selepas kedatangan Nabi Muhammad SAW, sebagai pusat dunia Islam dan kesatuan orang Islam sejagat. Oleh itu, usaha mempertahankan Palestin itu sama dengan membela Islam itu sendiri. Ia adalah tanggungjawab semua orang Islam di dunia, dan melepaskan tanggungjawab ini sama seperti melepaskan sebahagian daripada Islam; suatu dosa yang dijanjikan azab Allah sekiranya mereka tidak bersungguh-sungguh membebaskan dan mempertahankan Palestin, lebih-lebih lagi sekiranya mereka mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Penekanan kepada hubung kait antara Masjid al-Haram dengan Masjid al-Aqsa

Perjalanan Israk dan Mikraj mengenengahkan kaitan Masjid al-Haram dengan Masjid al-Aqsa. Akan tetapi, hubungan antara kedua-dua masjid ini hakikatnya telah terbentuk semenjak zaman Adam AS dan keluarganya. Hal ini jelas ditunjukkan dalam hadis daripada Abu Zar al-Ghifari, tatkala beliau bertanya kepada Nabi SAW: “Ya Rasulullah, masjid manakah yang terawal dibina di atas muka bumi ini?” Jawab Rasullullah SAW, “Masjid al-Haram”. Seterusnya Abu Zar bertanya lagi, “Kemudian apa?” Jawab Rasulullah SAW, “Masjid al-Aqsa”. Abu Zar kemudian bertanya lagi, “Berapakah tempoh antara pembinaan kedua-dua masjid itu?” Jawab Rasulullah SAW, “40 tahun””. [Sahih al-Bukhari].

Hubung kait ini sekali lagi dicerminkan di dalam kitab suci al-Quran, apabila Allah SWT berfirman, {Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui}[al-Isra’:1]

سُبْحٰنَ الَّذِيْ أَسْرٰى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِنَ الْـمَسْجِدِ الحَرَامِ إِلى الْـمَسْجِدِ الأقصى الذي بَارَكْنَا حَوْلَهُ (الإسراء:1).

Kaitan antara kedua-dua masjid ini tidak terhenti pada perjalanan Israk dan Mikraj sahaja, bahkan ia dimanifestasikan dalam bentuk ibadah yang terutama di dalam Islam – Solat – sewaktu Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk menjadikan Masjid al-Aqsa sebagai arah qiblat yang pertama dalam peristiwa Hijrah. Hal ini berterusan selama 16 bulan, sehingga tiba perintah kedua untuk menukar arah kiblat menghala ke Masjid al-Haram yang termaktub di dalam ayat suci al-Quran {Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram; dan dimana saja kamu berada maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya…} [al-Baqarah:144]

قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّـهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ (البقرة:144).

Para ulama’ telah berpendapat bahawa hubungan antara kedua-dua masjid tersebut sepatutnya meyakinkan umat Islam bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa itu tanggungjawab bersama. Para ulama’ juga menegaskan bahawa perkaitan ini perlu menjadikan umat Islam sejagat sedar bahawa ancaman terhadap kesucian Masjid al-Aqsa itu juga ancaman terhadap kesucian Masjid al-Haram itu sendiri, dan penaklukan Masjid al-Aqsa itu sama seperti penaklukan Masjid al-Haram itu sendiri. Masjid al-Aqsa itu pintu gerbang kepada Masjid al-Haram; sekiranya al-Aqsa tewas ditakluk tangan-tangan Yahudi, maka kesucian Masjid al-Haram dan wilayah Hijaz keseluruhannya akan turut terancam.

Keutamaan Mikraj kepada Masjid al-Aqsa

Mikraj Nabi Muhammad SAW ke langit dari bumi al-Aqsa dan penurunannya merupakan dalil bahawa Masjid al-Aqsa itu pintu di antara langit dan bumi, dan ia mencerminkan keutamaan Masjid al-Aqsa keatas sekalian umat Islam. Sebelum ini, tentera Salib telah menakluk Masjid al-Aqsa susulan kegelojohan mereka. Mereka yakin bahawa Masjid al-Aqsa itu, atas kunci tujuannya adalah sebagai pemelihara kesucian Masjid al-Haram, iaitu merupakan gerbang umat Islam yang membela identiti Muslimin dan mempertahankan negara Islam.

Related Articles