Masjid al-Aqsa dalam al-Quran al-Karim

by admin
5151 views

Masjid al-Aqsa yang telah dijajah memiliki kedudukan yang sangat besar dalam Islam, selepas dua buah masjid suci iaitu Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi. Ia merupakan masjid suci yang ketiga serta menjadi kiblat pertama bagi umat Islam. Masjid al-Aqsa telah disebut beserta dengan tempat yang paling suci di muka bumi ini iaitu Masjid al-Haram, di dalam al-Quran al-Karim melalui firman Allah SWT: 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ الإسراء 

 Maksudnya: “Maha Suci Allah SWT yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah SWT jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”. (al-Isra’ 17:1)   Ayat ini telah merakamkan perjalanan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj serta menegaskan akan kedudukan Masjid al-Aqsa. Ia merupakan tempat menyambut kedatangan Rasulullah SAW dan dari situ jugalah Baginda SAW naik ke langit (mikraj). Kemudian, Baginda SAW kembali semula ke Masjid al-Aqsa untuk mengimamkan solat bersama para nabi sebelum kembali ke Mekah.

     Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah menyifatkan Masjid al-Aqsa serta kawasan di sekelilingnya yang penuh dengan keberkatan. Ia merangkumi juga makna keteguhan dan ketetapan, serta makna kelangsungan dan keiltizaman. Merujuk ulama’ tafsir, keberkatan adalah ketetapan dan kebaikan daripada Tuhan  ke atas sesuatu, atau sesuatu kebaikan yang berterusan dan berkekalan. Ini bermakna kebaikan daripada Tuhan akan sentiasa meliputi Masjid al-Aqsa serta tanahnya yang suci. Kebaikan ini akan berterusan tanpa mengira waktu sehinggalah pada hari kiamat serta dapat menghalang kejahatan serta kebatilan daripada berakar di dalamnya.

   Keberkatan Masjid al-Aqsa secara zahir dan maknawi akan dapat dirasai bagi sesiapa yang menunaikan solat di dalamnya, atau mengambil berat terhadapnya, atau bekerja untuknya. Akan tetapi, pada zaman kini, tidak menjadi kewajipan untuk mengunjunginya kerana adanya sekatan daripada Zionis Israel. Justeru, kepada jutaan rakyat Palestin yang tinggal berdekatan dengannya atau umat Islam yang berada di serata dunia yang ingin datang untuk mendirikan solat di dalamnya telah diberi keuzuran daripada melakukannya. Mereka boleh merasai keberkatannya dengan cara bekerja untuk membebaskannya atau membelanya atau berusaha untuk melindunginya.

    Di dalam al-Quran juga telah dirakamkan beberapa ayat mengenai keberkatan beberapa buah tempat yang mengelilingi Masjid al-Aqsa iaitu di negeri-negeri Syam, dan juga mengkhususkannya kepada Masjid al-Aqsa di Palestin dengan menyebutkannya sebagai pusat keberkatan dan kebaikan.

Antaranya adalah:

Firman Allah SWT dalam kisah Nabi Ibrahim A.S dan Lut A.S:

 (وَنَجَّيْنَاهُ وَلُوطًا إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا لِلْعَالَمِينَ) “الأنبياء 71”

Maksudnya: “Dan kami menyelamatkannya (Ibrahim A.S) dan Lut A.S ke bumi yang kami berkati dalamnya untuk sekalian alam.” (al-Anbiya’ 21:71).

Juga dalam firman Allah SWT yang lain:

 (وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ عَاصِفَةً تَجْرِي بِأَمْرِهِ إِلَى الْأَرْضِ الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا وَكُنَّا بِكُلِّ شَيْءٍ عَالِمِينَ) “الأنبياء 81”

 Maksudnya: “Dan bagi Sulaiman A.S angin kencang bertiup dengan perintahnya ke bumi yang Kami berkati di dalamnya, dan Kami Maha Mengetahui atas segala sesuatu.” (al-Anbiya’ 21:81).

Allah SWT telah menyifatkannya sebagai tanah suci melalui ucapan Nabi Musa A.S dalam firmanNya: 

(يَا قَوْمِ ادْخُلُوا الأَرْضَ المُقَدَّسَةَ الَّتِي كَتَبَ اللّهُ لَكُمْ وَلاَ تَرْتَدُّوا عَلَى أَدْبَارِكُمْ فَتَنقَلِبُوا خَاسِرِين ) “المائدة 21”

Maksudnya: “Wahai kaumku! Masuklah ke tanah suci yang ditentukan Allah SWT untuk kalian dan janganlah berpaling ke belakang kamu, maka kamu akan menjadi orang yang rugi.” (al-Ma’idah 5:21).

(وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَة)  “سبأ 18”

Maksudnya: “Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar di (negeri Syam) yang kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran) kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang yang melalui jalan itu)”  (Saba’ 34:18).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Abbas R.A menyatakan maksud kampung yang diberkati itu adalah merujuk kepada Baitul Maqdis.

Related Articles