Pembakaran Al-Aqsa: Jenayah masih berterusan

by admin
4458 views

Oleh: Dr. Sharif Abu Shammalah
CEO of al-Quds Foundation Malaysia

Sejak penjajahan Israel ke atas bandar Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa tahun 1967 M, mereka telah berusaha tanpa henti untuk meruntuhkan Masjid Al-Aqsa dan membangunkan kuil yahudi di atas tapaknya. Melalui siri yang panjang dari usaha-usaha dan pencabulan demi pencabulan, yang lebih ketara dari semua percubaan berikut adalah cubaan membakar Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 M. Yayasan Al-Quds Malaysia menyeru anda untuk mengetahui peristiwa hitam yang membekas itu lebih terperinci:

Kebakaran.

Kebakaran telah berlaku pada awal pagi 21 Ogos 1969 ketika seorang pemuda zionis Australia  yang memiliki kerakyatan Israel menyalakan api di Masjid Al-Qibali sebahagian dari Masjid Al-Aqsa, api mula menyambar mimbar Salahuddin yang bersejarah yang telah dibina oleh Nuruddin Al Zanki. Kemudian ia mula marak ke bahagian-bahagian lain membakar perabot-perabot masjid terutamanya di bahagian timurnya.

Peranan penjajah dalam jenayah ini:

Telah terbongkar peranan kerajaan penjajah dalam kebakaran ini dengan pihak Israel memutuskan bekalan air dari Masjid Al-Aqsa dan kawasan sekitarnya, kereta bomba di bawah seliaan penjajah juga sengaja melengahkan perjalanan mereka untuk sampai ke tempat kebakaran sehingga orang Islam yang berada di masjid terpaksa mengawal api dengan pakaian mereka dan kelengkapan yang berdekatan mereka sahaja.

Begitu juga dengan pendedahan forensik bahawa kebakaran telah melibatkan dua tempat yang berbeza ini menunjukkan ia dilakukan dengan terancang dan tersusun bukan perbuatan seorang individu sahaja.

Kerugian harta benda dan ketamadunan:

Telah hilang sebilangan besar kesan tamadun manusiawi dan Al-Aqsa dari ukiran dan mercu-mercu bersejarah yang boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Mimbar Solehuddin yang bersejarah yang dikira sebagai kehalusan seni bina yang jarang ditemui, yang dihasilkan melalui teknik tanggam tanpa sebatang paku. Yang telah dipindahkan oleh Solehuddin al Ayyubiy ke Al-Aqsa selepas membebaskannya dari tentera salib.
  • Masjid Umar yang mana bumbungnya dari tanah liat dan alang kayu.
  • Mehrab Zakariya di arah timur dari Masjid Al-Qibali.
  • Makam 40.
  • Tiga gerbang dari tujuh keseluruhannya yang membentuk Masjid Al-Qibali, dengan sebahagian dari bumbungnya jatuh ke tanah semasa kebakaran tersebut.
  • Ukiran Surah al Israk yang dibuat dengan warna keemasan di atas mehrab sepanjang 23 meter ke arah timur.
  • Alang-alang kayu yang dihiasi ukiran yang memegang lampu-lampu yang terletak antara tiang-tiangnya.
  • Empat puluh lapan jendela yang dibuat dari kayu dihiasi dengan kaca beraneka warna yang unik dengan dibina sedikit condong agar tidak terkena cahaya matahari secara langsung ke dalam Al-Aqsa.
  • Semua permaidani tenunan.

Kesan-kesan terhadap politik:

Akibat kebakaran ini membangkitkan kemarahan antarabangsa, Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah bersidang dan mengeluarkan keputusan bernombor 271 pada tahun 1969 yang mengecam Israel dan menyerunya membatalkan semua pentadbiran-pentadbiran yang menjurus kepada mengubahsuai Al-Quds.

Turut dinyatakan dalam laporan itu bahawa Majlis Keamanan melahirkan kedukaan atas kemusnahan akibat dari pembakaran Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969 di bawah penjajahan tentera Israel, serta mengakui ia adalah kerugian sebuah tamadun manusiawi akibat kerosakan ini.

Kaum muslimun marak dengan kemarahan baik di kalangan orang Arab atau bukan. Pemimpin negara-negara Islam bermesyuarat di Rabat pada 25 September 1969 dan memutuskan untuk menubuhkan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Israel menjangkakan ia bakal mengancam kewujudannya tetapi apa yang berlaku hanyalah demonstrasi dan tunjuk perasaan serta penubuhan OIC

Kesudahan Penjenayah Tersebut:

Pelampau yang menyalakan api itu: polis penjajah telah menangkapnya kemudian dibicarakan di mahkamah olok-olok. Dia didakwa gila lalu dipindahkan ke Australia dan meninggal dunia pada tahun 1995M.

Kuasa penjajah: masih menjadi penjenayah besar yang sentiasa melakukan kerosakan  di Al-Aqsa dengan menggerakkan rancangannya secara beransur-ansur.

Kemudian apa?

Semua polisi Penjajah dan perancangannya dalam Al-Aqsa adalah api yang masih bernyala dan jenayah yang berterusan.

Bagaimana kita memperingati hari ini dan menajamkan isunya?

Mengingati peristiwa ini adalah sangat penting, ia menjelaskan betapa hasadnya zionis terhadap Al-Aqsa dan berkonspirasi melawannya. Oleh itu kita sebagai pertubuhan atau individu mestilah:

–  Memelihara isu Masjid Al-Aqsa agar sentiasa hidup dan hadir di hati kita dan kehidupan kita.

–   Bekerja untuk menjaga Al-Aqsa dengan menghulurkan sokongan politik, moral dan material kepada murabithun di Al-Aqsa.

–   Bekerja dari sudut undang-undang untuk mengenakan keputusan antarabangsa ke atas penjajah dan menjauhkan tangan mereka dari Al-Aqsa.

–   Menyebarkan kesedaran tentang realiti Masjid Al-Aqsa di kalangan orang ramai.

Related Articles