Mimbar-Mimbar Al-Aqsa

by admin
5159 views

Mimbar Salahuddin al-Ayyubi

Mimbar ini telah dibina atas arahan Nuruddin az-Zanki pada tahun 564 H bersamaan 1168 M untuk diletakkan di dalam Masjid al-Aqsa selepas berjaya membebaskannya daripada tentera salib. Walau bagaimanapun, beliau telah meninggal dunia sebelum sempat membebaskannya. Oleh yang demikian, sewaktu Salahuddin al-Ayyubi berjaya membebaskan Kota Al-Quds dan menyelamatkannya daripada tentera salib, beliau telah memerintahkan agar mimbar Nuruddin dibawa dari bandar Aleppo untuk diletakkan di dalam Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Oleh sebab itu, dinamakannya dengan nama mimbar Salahuddin al-Ayyubi. Mimbar ini merupakan salah satu seni bina Islam yang unik yang diperbuat daripada kayu cedar dimana diukir dan disemat dengan gading gajah dan cengkerang. Selain itu, terdapat juga pintu gerbang yang di atasnya terdapat sebuah mahkota yang besar. Ada yang mengatakan bahawa Putera Tankaz an-Nashiri yang telah menambahnya semasa membaiki mimbar tersebut pada sekitar tahun 731 H bersamaan 1330 M. Mahkota ini merupakan lambang keagungan bagi Kerajaan Tankaziyah. Di samping itu, terdapat juga tangga yang di atasnya terdapat sebuah gerbang yang melengkung beserta anjung yang diperbuat daripada kayu.

Mimbar Salahuddin atau Nuruddin az-Zanki yang bersejarah ini pernah terbakar pada tahun 1389  H bersamaan 1969 M sewaktu Dennis Michael Rohan, seorang Kristian Zionis berwarganegara Australia telah bertindak menyalakan api di ruang solat al-Qibli yang terdapat di dalam Masjid al-Aqsa. Kesan daripada itu, mimbar besi yang biasa telah diletakkan sebagai ganti kepada mimbar yang telah terbakar sehingga selesainya pembinaan mimbar baru yang serupa dengan mimbar yang asal dengan menggunakan bahan yang sama dari Jordan atas arahan Raja Abdullah (II) bin Hussein. Ianya telah dibawa ke al-Quds dan telah diletakkan di ruang solat al-Qibli.

Mimbar Burhanuddin

Mimbar ini terletak di bahagian selatan Kubah as-Sakhrah al-Mushrifah dan di sebelah sisi baratnya terdapat Baikah Selatan yang menghadap ke arah ruang solat al-Qibli. Dibina oleh hakim Burhanuddin bin Joma’ah pada tahun 709 H bersamaan 1309 M. Beliaulah yang telah menukar mimbar kayu beroda kepada mimbar batu yang mempunyai tempat duduk khas untuk khatib. Selain itu, dihiasi juga dengan kubah yang cantik yang disokong dengan empat buah tiang.  Kubah ini dinamakan sebagai Kubah al-Mizan. Ia merupakan satu-satunya mimbar yang berada di dataran Masjid al-Aqsa dan kini, ia sudah tidak digunakan lagi.

Related Articles