Pertempuran dalam melindungi Masjid al-Aqsa daripada pembahagian masa dan tempat

by admin
453 views

Dr. Sharif Abu Shammalah

Ketika menulis artikel ini pada 16hb November 2020 M, salah sebuah organisasi ekstremis Zionis iaitu “Yayasan Warisan Bukit Kuil (Jabal Ma’bad)” telah mengirim sepucuk surat kepada Menteri Keselamatan Dalam Zionis. Mereka meminta agar membenarkan penuntut sekolah-sekolah agama menyelesaikan tempoh pencerobohan mereka iaitu sesi pembelajaran dan pendidikan Taurat di dataran timur Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa penjajah dan kumpulan-kumpulan pelampau masih lagi berterusan berusaha memecah-belahkan Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Oleh yang demikian, ia memberi peringatan yang berterusan buat kita bahawa pertempuran ini amat penting dan ia memerlukan idea dan tindakan yang pelbagai bagi menghadapinya.

Projek pembahagian masa dan tempat ini dianggap sebagai salah satu tindakan Zionis yang paling berbahaya dalam projek yahudisasi di al-Aqsa. Mereka mengenakan polisi-polisi baru bagi merealisasikan impian mereka dalam menghancurkan Masjid al-Aqsa dan lalu menggantikannya dengan binaan kuil yahudi. Dalam masa yang sama, mereka juga berusaha memecah-belahkan umat Islam, membina balai di laluan tertentu serta menguasai tembok Buraq dan mengawal pintu-pintu masjid.

Maksud pembahagian masa dan tempat adalah merujuk kepada pelaksanaan waktu dan hari tertentu yang dikenakan oleh penjajah untuk melaksanakan agenda pencerobohan Zionis mereka. Antara pelannya ialah melarang umat Islam daripada memasuki Masjid al-Aqsa, menetapkan ruang-ruang tertentu di dalam Masjid al-Aqsa al-Mubarak di mana mereka melarang umat Islam daripada menggunakannya akan tetapi membenarkan orang Yahudi mencerobohnya untuk menunaikan sembahyang seolah-olah menukarkannya menjadi gereja Yahudi. Tujuan pelaksanaan ini adalah untuk menukarkan keadaan al-Aqsa daripada menjadi tempat suci bagi umat Islam kepada tempat suci bagi kaum Yahudi.

Projek-projek ini banyak dibincangkan dalam pemerintahan Zionis dan dewan parlimen (Knesset) Israel dengan suasana yang panik. Ini menunjukkan mereka sedang giat menumpukan usaha-usaha untuk merampas Masjid al-Aqsa secara paksaan dan berperingkat. Namun, kewujudan para murabithun, komuniti al-Quds dan pemimpin-pemimpin setempat telah menjadi faktor penting dalam menggagalkan usaha ini.

Yayasan al-Aqsa untuk Wakaf dan Warisan telah mendedahkan pada bulan Oktober 2013 M, akan usaha yang paling jelas telah dilaksanakan oleh Zionis dalam merealisasikan projek ini. Pelan cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Agama Zionis menyatakan tentang pembahagian tempat dan masa, pembinaan gereja yahudi di lima buah ruang di bahagian timur al-Aqsa serta cadangan pembahagian waktu, tempat dan cara yang spesifik untuk orang Yahudi menunaikan sembahyang sama ada secara individu ataupun berjemaah di kawasan yang ditentukan.

Mengikut perancangan ini, sembahyang secara sendirian dilaksanakan oleh seorang individu sahaja, dengan suara yang perlahan, hanya didengari dirinya sendiri sahaja melalui ungkapan bibirnya serta tidak membawa kitab dan peralatan suci. Manakala, sembahyang berjemaah terdiri daripada sepuluh orang atau lebih.

Mengenai hari pula, telah diterangkan dalam pelan cadangan di mana pencerobohan dilakukan semasa hari-hari perayaan dan musim-musim puasa mengikut takwim Ibrani. Antaranya, Tahun Baru Yahudi, Hari Yom Kippur, Hari Sukkot, Hari ke-8 Atzeret,  Hari Hanukkah, Puasa ke-10 di bulan Tevet , Hari Purim, Hari Paskah Yahudi, Hari Kemerdekaan, Hari al-Quds, Hari Shavuot, Hari Puasa Tammuz dan Puasa ke-9 di bulan Av.

Zionis telah mengulang cadangan ini di parlimen (Knesset) pada tahun 2016 M agar dapat dilaksanakan pelan projek tersebut secara rasmi. Namun, hakikatnya, mereka telah pun melaksanakannya sebelum ini walaupun tidak dikuatkuasakannya lagi. Ia boleh dilihat melalui bukti-bukti yang terdapat di lapangan yang mana menunjukkan bahawa pihak berkuasa menyetujuinya.

Pertama: Pertempuran mengenai pembahagian masa.

Bukti-bukti di lapangan menunjukkan bahawa organisasi Jama’atul Ma’bad dan pihak berkuasa Israel telah pun melaksanakan projek ini terlebih awal sebelum tarikh yang dinyatakan di dalam pelan cadangan. Perkara ini menjadi lebih jelas apabila mereka menggunakan bantuan polis Israel untuk melaksanakan polisi ini mengikut waktu yang telah ditentukan. Pencerobogan ini berlaku pada setiap hari sejak dari tahun 2003 M lagi. Pada musim sejuk waktu pencerobohannya adalah bagi sesi pagi (7:00 – 10:30 pagi) dan sesi petang (12:30 -13:30 petang). Manakala, pada musim panas; (7:30 -11:00 pagi dan 13:30-14:30 petang). Pada waktu-waktu tersebut, orang Yahudi dibenarkan menceroboh Masjid al-Aqsa dan menunaikan ibadah mereka. Adapun sebelum berlakunya penjajahan, mereka telah pun mengendahkan peranan Wakaf Islam yang bertanggungjawab terhadap pengurusan masjid. Mereka memperuntukkan 3 waktu dalam sehari untuk upacara sembahyang Yahudi dan diikuti pada hari-hari perayaan Yahudi untuk menceroboh Masjid al-Aqsa secara kejam. Tindakan ini adalah untuk melarang umat Islam daripada berada di al-Aqsa (atau di laluan pencerobohan) ketika waktu-waktu tersebut. Mereka melakukan perkara ini adalah untuk menyakitkan perasaan dan kesucian umat Islam.

Pemerintah Zionis berusaha untuk melaksanakan projek pembahagian masa secara rasmi pada tahun 2015 M. Oleh sebab itu, jenayah pencerobohan menjadi semakin meningkat dan mereka ingin menutup al-Aqsa di hadapan umat Islam semasa tarikh perayaan Ibrani (Tahun Baru Yahudi dan Hari Sukkot) yang disambut pada bulan September. Para penjajah telah menghalang para murabithun dan pemuda dari memasuki Masjid al-Aqsa pada waktu-waktu tersebut yang membuktikan bahawa mereka telah pun melaksanakan pelan pembahagian masa di al-Aqsa. Namun begitu, kegigihan dan keteguhan yang ditunjukkan oleh para murabithun telah menggagalkan operasi penjajah sehingga terjadinya “Kebangkitan Pisau (Hibbah as-Sakakin)”. Oleh sebab itu, para penjajah telah berundur daripada meneruskannya akan tetapi, tetap terus memberikan amaran larangan daripada melakukan Ribath dan menganggapnya sebagai organisasi pengganas.

Mereka tidak pernah berhenti berusaha untuk membahagikan masa di al-Aqsa. Hal ini jelas boleh dilihat ketika “Hari Tisha B’Av” mengikut kalendar Ibrani yang sama juga harinya dengan Hari Raya Aidiladha 1441 H (Ogos 2019 M). Jama’at Haikal telah meminta daripada pemerintah penjajah untuk menangguhkan solat hari raya di al-Aqsa supaya mereka boleh menceroboh dan melaksanakan upacara bacaan Taurat tanpa gangguan. Walau bagaimanapun, umat Islam tetap merayakan Aidiladha dengan melakukan ribath mereka di al-Aqsa dan menundakan proses penyembelihan korban. Ini adalah untuk menghalang pencerobohan dan menggagalkan usaha penjajah untuk membahagikan masa di Masjid al-Aqsa. Walaupun bilangan askar ramai yang datang untuk melindungi penceroboh ekstremis, akan tetapi kehadiran para jemaah dan murabithun telah menggagalkannya walaupun mereka diserang oleh penjajah dengan gas pemedih mata dan asap.

Sepanjang hari di bulan November 2020 M, polis penjajah telah memanjangkan tempoh pencerobohan untuk sehari iaitu dengan penambahan sebanyak 30 minit. Kebiasaan pada sebelah petang, tempoh pencerobohan dari jam 12:30 -13:30 petang, namun, sekarang bertambah menjadi 12:30-14:00 (musim sejuk). Ini menjadikan tempoh pencerobohan di dalam sehari adalah sebanyak lima jam bermula dari hari Ahad hingga Khamis. Kesemua hari dan waktu ini telah disambut dengan gembira oleh Jama’at Haikal. Hal ini jelas menunjukkan skala bahaya yang berperingkat ini telah mengancam Masjid al-Aqsa al-Mubarak terutamanya di waktu-waktu sukar seperti krisis korona.

Pembahagian tempat:

Kumpulan ekstrem Jama’atul Ma’bad telah berusaha untuk melaksanakan pembahagian tempat di al-Aqsa. Usaha  ini telah disokong oleh pemerintah Zionis. Ini termasuklah apa yang berlaku ketika cubaan untuk menguasai bahagian tenggara dari kawasan luar masjid pada tahun 1995 M. Mereka telah melakukan penggalian dan terowong yang menghubungkan dari luar masjid dari sisi selatan. Hal ini bertujuan untuk membina gereja yahudi di dalam al-Aqsa. Namun begitu, Syeikh Raed Solah iaitu ketua bagi Yayasan al-Aqsa untuk Pembangunan Semula Tempat-Tempat Suci telah menjumpai dan memberi amaran mengenainya. Yayasan berjaya menggagalkan usaha mereka dengan melakukan pemulihan di bahagian timur, membersihkannya dan memasang sejadah di dalamnya untuk kegunaan di musolla yang dikenali dengan nama “Musolla al-Marwani” pada tahun 1996 M.

Selepas berjaya menggagalkan usaha mereka mengusai Musolla al-Marwani, pihak Zionis telah mengalihkan pandangan mereka ke arah bahagian timur Masjid al-Aqsa. Kawasan ini merangkumi Bab ar-Rahmah dan kawasan di antara Musolla al-Marwani dan Bab ar-Rahmah. Ini boleh dilakarkan kepada dua bahagian:

Pertama, menghalang umat Islam dan Jabatan Wakaf Islam daripada melakukan pemulihan di bahagian timur. Kawasan ini terdapat timbunan runtuhan yang dikeluarkan dari Musolla Marwani ketika proses pembinaannya pada tahun 1996 -1998 M. Jadi, kawasan ini tidak sesuai dijadikan tempat untuk para jemaah menunaikan solat. Selain itu, penjajah juga menghalang penggunaan semula untuk membina pentas (mastabah) atau mengadakan ribath dan pengajian ilmu. Sebahagian  sukarelawan pemuda yang melakukan iktikaf pada bulan Ramadan 1440 H/2018 M telah melakukan kerja pembersihan dan menyusun batu bata di kawasan tersebut. Namun begitu, tentera Zionis telah menangkap mereka dan menghancurkan segala-galanya.

Kedua, menutup bab ar-Rahmah dengan tujuan untuk merampasnya. Pada tahun 2003 M, Zionis telah mengeluarkan arahan untuk menutup bab ar-Rahmah yang merupakan pusat bagi Jawatankuasa Zakat. Mereka memberikan alasan bahawa ia adalah “keganasan”. Oleh yang demikian, segala tugasan dihentikan dan diletakkan kunci di bahagian pintu. Para penjajah telah menjadikan kawasan bahagian timur sebagai kawasan terbengkalai yang mudah disita dan dikhususkan sebagai tempat ibadah yahudi.

Perancangan penjajah untuk menguasai kawasan timur dan menggantikannya dengan gereja yahudi

Penjajah telah merancang ingin melaksanakan pelan baru dalam projek pembahagian tempat pada bulan Februari 2019 M iaitu dengan menguasai bab ar-Rahmah ketika kunci pintu bertukar milik daripada Jabatan Wakaf kepada polis penjajah. Ini menunjukkan kawasan ini berada di bawah penguasaan penjajah dan membolehkan mereka merampasnya dan menjadikannya sebagai tempat ibadah yahudi di dalam al-Aqsa. Namun, ia dibalas dengan pemberontakan daripada penduduk sehingga menggagalkan tindakan penjajah. Mereka telah mengembalikan bangunan bab ar-Rahmah dan telah dijadikan tempat solat di Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Pada masa kini, masih lagi terdapat cubaan yang pelbagai daripada penjajah untuk menghalang umat Islam daripada menunaikan solat di dewan bab ar-Rahmah.

Ini menjelaskan lagi kepada kita akan penumpuan penjajah dan penceroboh yahudi untuk mengadakan hubungan kitab mereka(agama yahudi) dengan bab ar-Rahmah. Mereka menganggap pintu sebelah timur adalah “kuil” yang disebutkan dalam kitab Taurat mereka. Oleh itu, mereka berusaha untuk merampasnya dengan alasan tuntutan agama taurat mereka.

Dua nota:

Pertama: Selepas menghuraikan isi-isi penting di atas, kita dapati bahawa penjajah berusaha untuk melaksanakan pembahagian masa dan tempat tanpa henti. Justeru, konflik bersama penjajah masih berlanjutan pada setiap detik dan minit di Masjid al-Aqsa al-Mubarak. Kita perlu sedar dan berusaha untuk membantu mengikut kesesuaian posisi dan kemampuan dalam pertempuran melindungi dan menyelenggara al-Aqsa.

Kedua: Pemahaman kita tentang pembahagian tempat dan juga cara pemahaman penjajah tentang maksud dan cara interaksi dengan Masjid al-Aqsa. Mereka menganggapnya sebagai “Jabal Ma’bad”. Kita perlu selalu ingat dan menekankan konsep yang betul mengenai Masjid al-Aqsa al-Mubarak iaitu segala apa yang berada di sekitar tembok dan di dalamnya. Ia bukanlah sesekali Jami’ al-Qibli sahaja sepertimana yang dianggap oleh penjajah. Mereka mengatakan Masjid al-Aqsa adalah “tempat suci”(Jami’ al-Qibli) hanyalah untuk umat Islam manakala yang selebihnya iaitu dataran umum dinamakannya sebagai “Jabal Ma’bad”.

Related Articles